KUALA LUMPUR, 27 Jun - Masyarakat kini mudah terpengaruh tanpa menyemak kesahihan maklumat dan berita tentang sesuatu perkara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Moktar berkata, orang ramai sepatutnya tabayyun atau menyelidik sesuatu berita yang diterima supaya tidak timbul fitnah dan sangkaan buruk yang akhirnya menjadi barah dalam kalangan masyarakat.
"Dan juga sifat tabayyun, menyelidik makna apabila menerima sesuatu berita yang tidak baik, kalau yang baik Alhamdulillah, kalau yang tidak baik yang negatif kita semak dulu supaya tidak menimbulkan perkara yang buruk kepada orang yang dia fitnah tersebut. Bagaimana kita nak duduk satu tempoh masa yang panjang dengan keadaan panas terik di padang mahsyar kita kena cari individu yang kita fitnah itu.
"Hubungan dengan Allah boleh selesai dengan taubat saja. Dengan manusia kita kena jumpa dengan orang tu dan mohon maaf sehingga orang itu memberikan kemaafan, dosa kita tidak lepas di akhirat kelak," kata Dr Na’im kepada pemberita pada majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bagi tahun 2023 di World Trade Centre (WTC) Kuala Lumpur.
Masyarakat turut diingatkan agar bertindak bijak dengan menapis setiap maklumat yang diterima dan merujuk kesahihannya sebelum disebarkan.
Katanya, budaya fitnah bukan sahaja menular dalam media sosial tetapi dalam pelbagai organisasi dan perbuatan tersebut perlu dicegah kerana mampu meruntuhkan sesebuah organisasi.
Pada majlis tersebut, seramai 92 orang pegawai dari pelbagai skim perkhidmatan di MAIWP menerima APC dan seramai 229 orang menerima sijil penghargaan perkhidmatan.