
KUALA LUMPUR, 8 Julai – Syarat pengimportan kenderaan elektrik (EV) siap dipasang sepenuhnya (CBU), tidak sama dengan kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE) kerana kedua-dua segmen industri itu berada pada tahap pembangunan yang berbeza.
- Perlu percepat penggunaan EV untuk membangunkan pemasangan tempatan, rantaian bekalan dan ekosistem supaya Malaysia bukan sekadar pasaran pengguna.
- Struktur percukaian berbeza; EV dikenakan duti eksais lebih rendah berbanding kenderaan ICE yang bergantung pada kapasiti enjin dan penyetempatan.
- Penetapan nilai CIF minimum bagi EV memastikan asas cukai tepat, mengurangkan risiko pengisytiharan nilai rendah dan melindungi hasil kerajaan.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Sim Tze Tzin berkata, dasar pengimportan CBU bagi kenderaan ICE yang telah lama dilaksanakan dengan syarat hanya model berkapasiti enjin 1,800 cc ke atas yang dibenarkan diimport ke negara ini.
Manakala katanya bagi kenderaan EV, kerajaan perlu mengambil kira keperluan untuk mempercepatkan penggunaan EV dalam kalangan rakyat bagi membangunkan industri pemasangan tempatan, rantaian bekalan, serta ekosistem EV supaya Malaysia tidak hanya menjadi pasaran pengguna.
“Struktur percukaian EV juga berbeza berbanding kenderaan ICE apabila kadar duti eksais bagi EV ketika ini hanya 10 peratus.
“Manakala kenderaan ICE dikenakan kadar yang lebih tinggi bergantung kepada kapasiti enjin serta tahap penyetempatan komponen tempatan,”katanya.
Tambah beliau, penetapan nilai minimum kos, insurans dan tambang (CIF) bagi EV antara mekanisme dalam memastikan asas pengiraan cukai menjadi tepat, mengurangkan risiko pengisytiharan nilai import yang lebih rendah, serta melindungi kutipan hasil kerajaan.
Selain itu, kerajaan turut mempergiat pembangunan ekosistem EV menerusi usaha memperbanyakkan kemudahan pengecasan di seluruh negara.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan dikemukakan oleh wakil Kubang Pasu, Datuk Dr. Ku Abd Rahman Ku Ismail di Parlimen, hari ini.