
PUTRAJAYA, 9 Julai – Negara perlu segera beralih daripada pendekatan keselamatan konvensional kepada penguasaan teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran kuantum dan keselamatan siber bagi menghadapi ancaman yang semakin kompleks.
- Ancaman kini menembusi ruang siber dan memberi kesan kepada setiap lapisan masyarakat.
- Keselamatan bukan lagi tanggungjawab polis sahaja; pendekatan keselamatan perlu melibatkan semua pihak.
- Perkukuh kerjasama antarabangsa dan dengan syarikat teknologi untuk mempercepat penguasaan kepakaran menghadapi ancaman masa hadapan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata landskap keselamatan negara kini telah berubah apabila ancaman tidak lagi tertumpu kepada aspek fizikal semata-mata, sebaliknya turut menembusi ruang siber sehingga memberi kesan kepada setiap lapisan masyarakat.
“Dahulu, keselamatan hanya dianggap sebagai tanggungjawab polis dan agensi penguatkuasaan keselamatan yang lain. Tetapi sekarang ini, ancaman telah menembusi ke tiap-tiap rumah, menjangkau setiap individu dan pelajar.
“Oleh sebab itu, kita kini giat membicarakan soal cyber security (keselamatan siber). Kita faham bahawa pendekatan lama tidak lagi mencukupi.
“Sebab itulah kita adakan pameran dan bekerjasama dengan semua negara untuk mendapatkan bantuan, kerjasama serta pendekatan kepakaran baharu”, katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Keselamatan Negara 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Menurut Datuk Seri Anwar, Malaysia perlu memperkukuh kerjasama dengan negara luar serta syarikat teknologi bagi memperoleh kepakaran dan pendekatan baharu dalam memperkasakan keselamatan siber negara.
Beliau berkata dalam dunia tanpa sempadan, kerjasama rentas negara amat penting bagi memastikan negara mampu mendepani ancaman keselamatan yang semakin berkembang.
Katanya, kerajaan juga perlu mempercepat penguasaan teknologi baharu agar negara sentiasa bersedia menghadapi bentuk ancaman masa hadapan.
“Kalau kita mahu negara kita selamat dan aman, kita mesti menguasai ilmu teknologi baharu ini,” kata Datuk Seri Anwar.