Sumbangan RM83,500 imarahkan program Ramadan di Bandar Tun Razak

FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR, 26 Februari – Sebanyak RM83,500 diperuntukkan kepada 105 rumah ibadat di sekitar Parlimen Bandar Tun Razak bagi mengimarahkan program sepanjang Ramadan tahun ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • RM83,500 diperuntukkan kepada 105 rumah ibadat di Parlimen Bandar Tun Razak untuk memakmurkan program Ramadan.
  • Bantuan menyokong aktiviti seperti ilmu, solat tarawih dan juadah berbuka bagi komuniti setempat.
  • Inisiatif bertujuan memupuk perpaduan, keseimbangan insan dan menyokong aspirasi Malaysia MADANI.

Menurut Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, sumbangan itu melibatkan 10 masjid, 12 surau Jumaat dan 83 surau biasa.

Jelas beliau, bantuan berkenaan bertujuan menyokong penganjuran pelbagai aktiviti sepanjang bulan Ramadan termasuk program ilmu, solat tarawih serta penyediaan juadah berbuka puasa untuk komuniti setempat.

“Kita mahukan umat kita menjadi lebih baik daripada sebelum ini dan Ramadan ini memberi kesedaran kepada kita dan sebab itu kita mahu memakmurkannya dengan amalan yang baik.

“Alhamdulillah, segala rezeki yang Allah kurniakan kepada kita, kita kongsikan bersama dan apabila kita berkongsi, insya-Allah ia akan mendatangkan lebih keberkatan dalam kehidupan kita,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Sumbangan Ihya’ Ramadan peringkat Parlimen Bandar Tun Razak di Dewan Masjid Al-Muqarabbin di sini, hari ini.

Beliau yang juga isteri kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga berharap, bantuan berkenaan dapat meringankan beban pengurusan masjid dan surau dalam merancang serta melaksanakan pelbagai program sepanjang Ramadan.

Inisiatif itu juga katanya, berperanan melahirkan insan seimbang dari segi rohani, jasmani, emosi dan sosial.

Menurutnya, program yang dirangka turut menjadi platform memupuk perpaduan, memperkukuh kerjasama serta mengeratkan ukhuwah dalam kalangan masyarakat selaras aspirasi Malaysia MADANI.

Dalam pada itu, Datuk Seri Dr Wan Azizah merakamkan penghargaan kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan serta semua masjid dan surau yang sentiasa memberikan komitmen terbaik dan menjadi nadi pelaksanaan program sepanjang Ramadan.