KUANTAN, 4 Ogos- Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan menyaksikan Royal Pahang F3000 Powerboat Championship di Sungai Kuantan, berhadapan menara Kuantan 188.
Turut mengiringi baginda, Tengku Mahkota, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan Tengku Panglima Raja, Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah.
Perlumbaan itu disertai pelumba antarabangsa dari Amerika Syarikat, New Zealands, Papua New Guinea, Brazil, Singapura, Australia dan Brunei, serta pelumba Malaysia; melibatkan tiga kategori dipertandingkan.
Seri Paduka Baginda turut berkesempatan menyampaikan trofi dan hadiah kemenangan kepada pemenang.
Pelumba negara, Tan Chew Peng dinobat sebagai naib juara dalam kategori perlumbaan drag sejauh 400 meter dan kategori perlumbaan utama.
Bagi kategori topper yang disertai semua pelumba Pahang, Zaki Aliul Aqil Abdul Wahab dinobat sebagai juara; manakala, Ridzuan Saari ditempat kedua dan Syahrul Salam Ishak tempat ketiga.
Acara berkenaan julung kali dianjurkan sempena Pesta Kuantan 188 yang berlangsung selama tiga hari sejak Jumaat lalu, sempena memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Yang Ke-65, Al-Sultan Abdullah yang jatuh pada 30 Julai dan Tunku Azizah pada esok.