KUALA TERENGGANU, 20 Mei-Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, bertitah agar Tabung Khairat Zainal Abidin dijenamakan semula bagi memastikan institusi-institusi pendidikan agama di negeri itu terus berkembang dan relevan dengan keperluan semasa.
Baginda turut mencadangkan agar tabung yang diasaskan sejak 1932 itu digabungkan dengan instrumen seperti endowmen, wakaf dan sedekah bagi memperkasakan sumber kewangan dan peranannya dalam pendidikan.
Titah tersebut disampaikan baginda ketika merasmikan Majlis Sambutan 100 Tahun Sekolah Arab Sultan Zainal Abidin serta Pelancaran Buku Permata Darul Iman, sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-63 Keputeraan Baginda, di sini.
Baginda juga menegaskan bahawa tabung berkenaan telah memainkan peranan penting sebagai tunjang pembangunan institusi pendidikan agama seperti Sekolah Menengah Agama Sultan Zainal Abidin (SMASZA) Ladang, Sekolah Menengah Agama Atas Sultan Zainal Abidin (SMAASZA) Batu Buruk, serta Kolej Agama Sultan Zainal Abidin (KUSZA), yang kini dikenali sebagai Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).
Baginda juga menekankan kepentingan permaufakatan antara pihak istana, pentadbir dan rakyat dalam memperkukuh serta meneruskan agenda Tabung Khairat Zainal Abidin demi manfaat generasi akan datang.
Turut berkenan berangkat ke majlis bersejarah itu ialah Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah, Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan, serta paduka-paduka anakanda lain.
Dalam pada itu, Yang Dipertua Alumni ABIDIN, Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor, menyatakan bahawa permintaan tinggi daripada generasi baharu mendorong usaha memperluaskan lagi fungsi tabung berkenaan.
"Walaupun ia sudah berlaku lama, dari tahun 1932 lagi, kita akan kembangkan kerana permintaan daripada generasi baharu hari ini memerlukan perhatian untuk melibatkan diri dalam pelbagai kegiatan," ujar beliau.
"Jadi, sambutan 100 tahun ini menjadi satu detik istimewa untuk menyantuni permintaan generasi baharu di sekolah Zainal Abidin yang sudah berusia satu abad," tambahnya.