(Sultan Hassanal Bolkiah diiringi Permaisuri Raja Isteri Pengiran Anak Saleha,
pegawai kanan kerajaan dan delegasi Brunei)
SUBANG, 2 Ogos- Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah berangkat tiba di Malaysia untuk lawatan tiga hari bermula hari ini hingga 4 Ogos.
Baginda tiba di Pangkalan Tentera Udara Di Raja Malaysia (TUDM) Subang tepat pada jam 5.00 petang.
Sultan Hassanal Bolkiah diiringi Permaisuri Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, pegawai kanan kerajaan dan delegasi Brunei.
Ketibaan disambut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, isterinya Datuk Seri Dr.Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Luar Datuk Seri Zambry.
(Sultan Brunei mulakan lawatan tiga hari ke Malaysia)
Sejurus selepas pesawat khas baginda mendarat, Sultan Hassanal Bolkiah berkenan memeriksa perbarisan kehormat yang dianggotai dua pegawai dan 26 anggota Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja.
Lawatan rasmi baginda bersempena Rundingan Pemimpin Tahunan (ALC) kali ke-24 antara Malaysia dengan Brunei esok.
Sultan Brunei dijadualkan menghadiri rundingan itu bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ia merupakan acara penting dalam kalender tahunan bagi kedua-dua negara sebagai platform peringkat tertinggi bagi membincangkan pelbagai isu dua
hala, serantau dan antarabangsa berkepentingan bersama.
Menerusi rundingan tersebut, kedua-dua pemimpin juga akan berbincang untuk mengkaji semula kemajuan kerjasama dua hala dan isu-isu tertunggak.
Sultan Brunei akan diraikan dalam Istiadat Sambutan Negara di Istana Negara oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah esok.
Seterusnya baginda dijadualkan bertemu dengan Al-Sultan Abdullah, diikuti Majlis Jamuan Negara bagi meraikan Sultan Brunei dan delegasinya.
Pada 2022, Brunei merupakan rakan dagangan ke-26 terbesar Malaysia dan keenam terbesar dalam ASEAN dengan jumlah dagangan bernilai RM13.22 bilion.