GUA MUSANG, 15 Julai- Suami isteri warga emas terlibat kemalangan apabila kereta dinaiki hilang kawalan di Kilometer 60, Jalan Gua Musang-Lojing, di sini, Kelantan, semalam.
Ketua Polis Daerah, Penguasa Polis (SP) Sik Choon Foo menerusi kenyataan hari ini berkata, dalam kejadian kira-kira 3.40 petang, wanita, 63, maut, manakala suaminya, 75 mengalami kecederaan.
Siasatan mendapati kereta dipandu suami mangsa dari arah Gua Musang ke Lojing dipercayai hilang kawalan ketika mengambil selekoh ke kanan hingga mengakibatkan kenderaan berpusing masuk ke laluan bertentangan lalu dirempuh sebuah kenderaan lain.
Pemandu berusia 44 tahun tersebut dilapor mengalami kecederaan ringan.
Ketiga-tiga mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Gua Musang untuk menerima rawatan.
Bagaimanapun, mangsa wanita warga emas disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan dan mayat dibawa ke Unit Forensik hospital terbabit untuk bedah siasat.
Kes disiasat dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.