fb fb fb fb fb

STPM 2021: Gred Purata Sekolah Perlis catat paras terbaik

KANGAR, 18 Ogos - Prestasi Gred Purata Sekolah (GPS) Perlis dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) berada pada paras terbaik apabila mencatatkan gred 3.42 bagi keputusan peperiksaan STPM 2021.

Selain itu, Perlis juga mencatat rekod tiada calon gagal dalam peperiksaan berkenaan selama dua tahun berturut-turut bermula tahun 2020 lalu.

Pengarah Jabatan Pendidikan Perlis Naharudeen Othman berkata, pencapaian Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) Perlis ialah 3.01 iaitu meningkat sebanyak 0.17 berbanding tahun lalu sekali gus mengatasi PNGK kebangsaan iaitu 2.79.

Manakala keputusan peperiksaan kali ini, enam buah sekolah mencatatkan keputusan lulus penuh selain seramai 18 orang calon mendapat PNGK 4.00.

(Naharudeen ditemui pemberita selepas mengumumkan
keputusan STPM negeri Perlis di sini)

"Ini sebenarnya adalah pencapaian terbaik untuk negeri Perlis dalam tempoh 5 tahun dan saya percaya perkara ini dapat kita capai kerana adanya kerjasama semangat sepasukan dalam membentuk kemenangan pasukan kepada pencapaian peperiksaan STPM ini," kata Naharudeen di sini.

Pada tahun 2021, seramai 378 calon hadir menduduki peperiksaan termasuk seorang calon persendirian.

Media Baharu