KUALA LUMPUR, 2 Januari – Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) memaklumkan Stesen KLCC ditutup sementara waktu selepas laporan awal mengesan kepulan asap di bilik peralatan elektronik dalam stesen tersebut.
Sehubungan itu, penumpang hanya dibenarkan keluar dari stesen berkenaan dan dinasihatkan menuju ke Stesen Persiaran KLCC atau Stesen Ampang Park untuk meneruskan perjalanan mereka.
"Bagi kemudahan pengguna, perkhidmatan bas perantara percuma disediakan di antara Stesen Ampang Park, Stesen KLCC, dan Stesen Dang Wangi," menurut kenyataan Rapid Rail.
Pasukan bomba kini berada di lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan dan tindakan lanjut.
Orang ramai diminta untuk bertenang dan mematuhi arahan petugas operasi stesen.
Untuk maklumat terkini, pengguna digalakkan merujuk media sosial Rapid KL atau aplikasi PULSE.