fb fb fb fb fb

SOP COVID-19 di sekolah dan institusi pendidikan kekal hingga kini

Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh

TAIPING, 1 Januari - Prosedur operasi standard (SOP) berkaitan pencegahan COVID-19 di sekolah dan institusi pendidikan Kementerian Pendidikan (KPM) pada April tahun lepas masih terpakai hingga kini.

Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata, SOP itu antaranya melibatkan penggalakan pemakaian pelitup muka kepada guru, murid dan pelajar, selain warga sekolah perlu melakukan ujian kendiri jika bergejala serta sentiasa menjaga kebersihan diri.

"Bagaimanapun, kita tahu bahawa isu COVID-19 ini mungkin akan berubah dari semasa ke semasa, dan pihak KPM akan sentiasa berbincang dan berkolaborasi dengan pihak KKM (Kementerian Kesihatan) berkenaan cara atau SOP kita untuk cegah penularan COVID-19," katanya kepada pemberita dalam Program Semarak Taiping di sini, malam tadi.

Sekiranya keadaan penularan menjadi serius Wong memaklumkan, kementeriannya akan mengendalikan setiap kes dengan teliti dan mendapatkan nasihat daripada KKM untuk tindakan selanjutnya.

"Segala SOP harus kita muktamadkan selepas berbincang dengan KKM. Pihak KPM akan terus memantau isu ini, jadi kita akan tengok apa yang berlaku selepas sekolah dibuka semula (pada 2 Jan)," katanya.

Dalam pada itu Wong berkata, murid dan pelajar di seluruh negara masih diberi kelonggaran untuk hadir ke sekolah tanpa memakai pakaian seragam.

Keputusan itu bagi membantu pelajar yang terkesan khusus dalam situasi banjir yang berlaku ketika ini.

"Sekolah-sekolah di Pantai Timur yang mana telah dilanda bencana banjir, bagi pihak KPM kita selalu berpegang kepada prinsip kemanusiaan. Kita mahu memberi kesenangan dan kelonggaran kepada murid-murid dalam pembelajaran," katanya lagi.

Kelonggaran itu terpakai sehingga satu tempoh yang akan dimaklumkan kelak. 

TETITIA YUSOFF