fb fb fb fb fb

Sokongan kesihatan mental dalam talian mampu selamatkan belia

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, berkata pendekatan baharu diperlukan bagi menangani cabaran kesihatan mental belia. Foto- RTM

SUBANG JAYA, 6 September - Sokongan kesihatan mental secara dalam talian mampu menjadi penyelamat kepada golongan belia yang berdepan tekanan emosi dan isu ketagihan, kata Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Berucap ketika merasmikan Persidangan Kaunseling Telefon Asia Pasifik (APTCC) ke-18 di Hotel Sunway Resort, beliau menegaskan pendekatan baharu perlu diambil memandangkan kaedah tradisional seperti larangan dan kempen semata-mata tidak lagi berkesan.

Menurutnya, ramai anak muda berasa takut atau malu untuk mendapatkan bantuan secara terbuka, justeru sokongan dalam talian yang memberi ruang privasi serta tanpa identiti boleh menyelamatkan nyawa.

Beliau menambah, Kementerian Belia dan Sukan kini sedang merangka pelaksanaan perkhidmatan terapi dalam talian sebagai pendekatan menyeluruh bagi menangani isu ketagihan dalam kalangan belia, termasuk penyalahgunaan dadah, pornografi dan perjudian.

Berdasarkan dapatan Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES), isu ketagihan merupakan antara cabaran paling mendesak yang dihadapi golongan muda pada masa ini.

Hannah berkata, melalui penganjuran persidangan seperti APTCC, negara dapat mempelajari pengalaman antara satu sama lain serta memperkukuh tindak balas kolektif dalam menyediakan sokongan kesihatan mental yang lebih berkesan dan inklusif di peringkat komuniti.

APTCC ke-18 yang berlangsung dari 5 hingga 7 September menghimpunkan lebih 300 peserta termasuk 18 pakar antarabangsa dari lebih 20 negara.

Persidangan anjuran Persatuan Lifeline Malaysia (LLAM) dengan kerjasama Persatuan Kesihatan Mental Malaysia itu turut diserikan dengan kehadiran Penaung Diraja APTCC ke-18, Raja Puan Muda Kedah, Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff, yang berkenan merasmikan acara bersama Menteri Belia dan Sukan.

Antara topik utama yang dibincangkan termasuk intervensi terhadap idea bunuh diri dalam kalangan remaja, strategi kaunseling berasaskan teks, serta sokongan kepada penjaga dan sukarelawan talian bantuan.

Presiden LLAM, Choon Lee Meng menyifatkan penganjuran APTCC buat kali pertama di Malaysia sebagai langkah penting ke arah membina sistem sokongan kesihatan mental yang lebih efektif dan inklusif di seluruh rantau Asia Pasifik.

NUR SHARIDA SHAHABUDDIN