fb fb fb fb fb

Situasi kebakaran tapak pelupusan sampah di Pulau Burung semakin pulih - JBPM

BUKIT MERTAJAM, 27 Januari - Hampir 50 peratus kawasan tapak pelupusan sampah di Pulau Burung telah berjaya dipadamkan dan mungkin dalam seminggu keseluruhan kawasan itu akan kembali seperti sediakala.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, Saadon Moktar berkata keyakinan itu adalah hasil kerjasama semua pihak atas insiden kebakaran yang berlaku.

"Keadaan terkawal dan dijangka kembali seperti biasa dalam masa seminggu lebih," kata Saadon kepada pemberita selepas merasmikan Pelancaran Kempen Keselamatan Keluarga Malaysia dan Menghapus Bahaya Kebakaran (MBK) sempena Sambutan Tahun Baharu Cina Tahun 2022 di sebuah pasaraya di sini.

Dalam perkembangan sama, Saadon berkata pihaknya masih memantau tapak pelupusan di Pulau Burung di Nibong Tebal dan masalah kekurangan air juga selesai selepas ada pihak memberikan tanah untuk tujuan tersebut.

Rabu lalu, tapak pelupusan sampah di Pulau Burung yang keseluruhannya seluas 16.2 hektar itu dikesan mengalami kebakaran pada kawasan seluas kira-kira 6.5 hektar.

Ekoran itu, kira-kira 200 penduduk daripada 86 keluarga di Ladang Byram dan Kampung Kebun Baru yang terletak berhampiran tapak tersebut diminta berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Saujana Indah dan SK Bakap Indah.

 

Media Baharu