fb fb fb fb fb

Situasi banjir di Johor dan Pahang berkurangan

FOTO FAIL

KUALA LUMPUR, 9 Januari - Bilangan penduduk terjejas banjir di Johor dan Pahang merekodkan penurunan kepada 8,397 yang berlindung di 73 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat pukul 8.00 malam ini berbanding 8,462 di 74 PPS tengah hari tadi.

Menurut laporan terkini Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), situasi banjir di Johor bagaimanapun semakin teruk dengan jumlah penduduk terjejas meningkat kepada 7,947 yang berlindung di 52 PPS berbanding 7,297 di 50 PPS tengah hari tadi.

"Daripada jumlah itu, 26 PPS di Kota Tinggi menempatkan 4,705 orang diikuti 11 PPS di Johor Bahru dengan 1,753 orang sembilan PPS di Kluang (1,306 orang ), empat di Segamat (75) serta sebuah PPS masing-masing di Kulai (86) dan Pontian (22)," kata laporan itu.

Di Pahang, jumlah orang berkurangan kepada 450 yang berlindung di 21 PPS di tiga daerah berbanding 1,165 di 24 PPS tengah hari tadi, merangkumi 11 di Rompin yang menempatkan 69 orang, sembilan PPS di Pekan (377) dan sebuah PPS di Maran (empat).

Tinjauan situasi status Stesen Telemetri Jabatan Pengairan dan Saliran mendapati beberapa sungai di Johor masih mencatatkan paras bahaya termasuk Sungai Skudai di Johor Bahru, Sungai Johor di Johor Bahru, Kota Tinggi dan Kulai serta Sungai Endau di Kluang.

Situasi sama berlaku di Pahang iaitu Sungai Kuantan (Kuantan), Sungai Pahang (Pekan), Sungai Rompin (Rompin), Sungai Pahang di Jerantut dan Maran serta Sungai Kelantan (Kota Bharu), Sungai Perak (Hulu Perak); Sungai Arau (Arau) dan Batang Sadong (Kuching).

Laporan itu turut memaklumkan terdapat 48 jalan ditutup akibat bencana banjir, jambatan rosak atau runtuh dan tanah runtuh antaranya Jalan Pekan-Batu Balik di Pekan, Pahang; Jalan Kota Tinggi-Kluang di Kota Tinggi, Johor; Jalan Sungai Sam ke Dabong di Jeli, Kelantan; Jalan Bukit Jugra di Kuala Langat, Selangor dan Trolak Selatan di Batang Padang, Perak.

TETITIA YUSOFF