PUTRAJAYA, 21 Julai - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) hari ini melancarkan sistem MyVISA 2.0 yang akan digunakan secara rasmi bermula bulan depan.
Pengenalan MyVisa 2.0 itu merupakan sebahagian usaha Kerajaan MADANI menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan awam.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, MyVISA 2.0 merupakan penaiktarafan kepada sistem MyVISA yang dilaksanakan sejak 1 Disember 2021 dan kini dibangunkan semula sebagai platform visa digital bersepadu.
“MyVISA 2.0 menawarkan proses permohonan visa yang lebih pantas, selamat dan efisien, selaras dengan keperluan rakyat serta pelawat antarabangsa yang menekankan aspek kemudahan dalam urusan imigresen,” katanya ketika merasmikan pelancaran sistem tersebut sempena Sambutan Hari Imigresen 2025, di sini, hari ini.
Menurut beliau, antara teknologi baharu yang diperkenalkan termasuk, pengecaman aksara optik (OCR), notifikasi masa nyata, automasi pintar dan aplikasi mudah alih yang direka khas untuk kemudahan pemohon.
Tambahnya, sistem tersebut membolehkan keseluruhan proses permohonan visa dilaksanakan secara digital sepenuhnya.
“Ia merangkumi pengimbasan pasport, pemuatan dokumen, sesi temu duga secara maya, penjejakan status masa nyata, kelulusan eVisa dengan kod QR serta sokongan interaktif melalui fungsi sembang langsung (live chat),” jelasnya.
Pelaksanaan MyVISA 2.0 dijangka mempertingkat kecekapan dan kebolehpercayaan sistem visa negara dalam menghadapi permintaan global yang semakin kompleks.