KUALA LUMPUR, 9 Jun - Proses semakan semula kertas jawapan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hanya boleh dilaksanakan menerusi sistem LPSkor.
Pengarah Peperiksaan, Lembaga Peperiksaan Kementerian Pendidikan, Dr. Mohd Azam Ahmad berkata sistem berkenaan membantu pemeriksa untuk mengakses kertas jawapan dengan lebih mudah melalui dalam talian.
"Kita tidak perlu hendak mencari pemeriksa hendak hantar skrip itu secara bertulis tetapi kita hantar secara dalam talian, kita boleh hantar terus.
"Kita sudah ada senarai nama pemeriksa itu dan calon skrip jawapan tersebut akan dihantar terus kepada pemeriksa-pemeriksa, jadi cepatlah," katanya ketika ditemui pemberita selepas menjadi tetamu rancangan Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri.
Sistem yang dibangunkan pada 2019 sebagai projek rintis telah digunakan sepenuhnya pada 2020.
Bagi calon yang tidak berpuas hati dengan keputusan bagi tiga subjek iaitu Bahasa Melayu, Sejarah dan Matematik, boleh memohon untuk menduduki semula SPM ulangan.