
PUTRAJAYA, 9 September – Jumlah sisa pepejal di Malaysia dijangka meningkat kepada 17 juta tan metrik setahun menjelang 2035, berbanding 14.5 juta tan metrik pada 2024, sekiranya tiada langkah berkesan diambil bagi mengurangkan penjanaannya.
- Kerajaan membelanjakan lebih RM2 bilion setahun untuk pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam.
- KPKT menyasarkan 200,000 peserta dan pengumpulan 28,000 kilogram barangan kitar semula dalam HCM 2026.
- Kerjasama dengan Kementerian Pendidikan mengiktiraf HCM dalam PAJSK dan dijangka melibatkan lebih 10,000 sekolah.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata peningkatan tersebut melibatkan perbelanjaan tinggi kerajaan sekitar RM2 bilion setahun bagi pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, peningkatan jumlah sisa itu bukan sahaja memberi kesan terhadap kebersihan dan alam sekitar, malah turut meningkatkan kos yang perlu ditanggung kerajaan bagi pengurusan sisa pepejal serta pembersihan awam.
“Lebih RM2 bilion setiap tahun telah diperuntukkan untuk pengurusan sisa pepejal dan juga pembersihan awam,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sesi sidang media sempena Majlis Pra-Pelancaran Hari Cuci Malaysia (HCM) 2026, di sini hari ini.
Sehubungan itu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyasarkan penyertaan 200,000 peserta dalam HCM 2026, selain mengumpulkan 28,000 kilogram barangan kitar semula.
Nga berkata sasaran berkenaan ditetapkan berdasarkan momentum dua penganjuran HCM terdahulu.
HCM 2024 merekodkan penyertaan 58,007 peserta dan kutipan sebanyak 4,645.50 tan metrik sisa, manakala HCM 2025 mencatatkan rekod baharu dengan 100,817 peserta serta pengumpulan 27,679.31 kilogram minyak masak terpakai.
Dalam perkembangan sama, Nga berkata KPKT buat julung kalinya menjalinkan kerjasama strategik dengan Kementerian Pendidikan (KPM) bagi memperluas penglibatan murid sekolah dalam usaha memupuk budaya kebersihan dan kitar semula sejak peringkat awal.
Menurutnya, penyertaan murid dalam HCM kini diiktiraf sebagai salah satu aktiviti di bawah Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK).
“Inisiatif ini penting dalam menyemai amalan menjaga kebersihan dan membudayakan kitar semula dalam kalangan murid sejak usia muda,” katanya.
Kerjasama itu dijangka menarik penyertaan lebih 10,000 sekolah di seluruh negara, sekali gus memperkukuh amalan kelestarian dalam kalangan warga sekolah.
Majlis Perasmian HCM Peringkat Kebangsaan 2026 akan berlangsung di Pasar Taman Seri Gombak, Batu Caves, Selangor pada 26 September, dengan Kerajaan Negeri Selangor sebagai rakan strategik utama dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) sebagai tuan rumah.
Program tahun ini turut mendapat sokongan 21 rakan strategik yang merangkumi syarikat sektor pembersihan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat multinasional (MNC), sektor peruncitan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).