fb fb fb fb fb

Sirajuddin dilantik Ketua Pengarah JAKIM baharu

Ihsan/FB JAKIM

PUTRAJAYA, 1 Oktober-Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee dilantik sebagai Ketua Pengarah baharu jabatan berkenaan, berkuat kuasa hari ini.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar melalui satu kenyataan memaklumkan, pelantikan itu bagi menggantikan Datin Paduka Hajah Hakimah Mohd Yusoff yang kini diberi tanggungjawab sebagai Penyelaras Hal Ehwal Halal.

Menurut beliau, pelantikan Sirajuddin, merupakan salah satu usaha memperkasa penyampaian perkhidmatan hal ehwal Islam.

Sirajuddin memulakan karier sebagai Pegawai Hal Ehwal Islam pada 2 Januari 1992 dengan jawatan Penolong Pengarah (Dakwah) Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Ketika di JAKIM, beliau pernah berkhidmat sebagai Pengarah Kanan Bahagian Penyelidikan dan Pengarah Bahagian Pengurusan Halal, selain sebagai Setiausaha Pertama (Halal) Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Canberra, Australia.

Sirajuddin berkelulusan Ijazah Sarjana Muda (Syariah & Undang-Undang) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) serta Ijazah Sarjana Sains Teknologi Maklumat dari Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Selain itu, Ijazah Doktor Falsafah (Sains Komputer) dari University of South Australia (UniSA).

Dalam pada itu, Shamsul Azri turut mengumumkan pelantikan Hakimah sebagai Penyelaras Hal Ehwal Halal yang bakal bertanggungjawab mengurus koordinasi di antara JAKIM, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Halal Development Corporation (HDC), juga berkuat kuasa hari ini.

Tambahnya, pelantikan ini adalah bagi memangkin pengurusan hal ehwal halal Malaysia yang cekap dan berkesan serta diiktiraf di seluruh dunia.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar dalam satu kenyataan merakamkan ucapan tahniah kepada Datuk’ Dr. Sirajuddin Suhaimee atas pelantikannya sebagai Ketua Pengarah JAKIM yang baharu.

Beliau turut berharap perlantikan itu dapat memacu JAKIM dengan lebih mampan dalam melaksanakan agenda Membangun Malaysia Madani.

Tambahnya, beliau yakin dengan pengalaman luas yang dimiliki oleh Sirajuddin selama 32 tahun terutamanya dalam pengurusan hal ehwal Islam di Malaysia termasuk di Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) akan membolehkannya menerajui JAKIM ke arah kecemerlangan.

Na'im turut merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada bekas Ketua Pengarah JAKIM sebelum ini, Datin Paduka Hajjah Hakimah Mohd Yusoff atas segala jasa dan sumbangan bakti beliau sebelum ini.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD