fb fb fb fb fb

Sindiket penyeludupan barangan import, SPRM mohon bantuan Singapura

Foto BERNAMA

SERI ISKANDAR, 9 Jun- Kerajaan akan memohon bantuan Singapura untuk mengesan dalang utama sindiket penyeludupan barangan import terbesar di Pelabuhan Klang, yang kini dipercayai berada di negara itu.
 
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki menjelaskan tiada keperluan untuk melakukan ekstradisi kerana kerjasama antara Malaysia-Singapura sudah terjalin di bawah undang-undang sedia ada.
           
"Kita memang ada kerjasama antara pihak Singapura dan Malaysia di bawah satu undang-undang. Jika betul beliau ada di Singapura, kita akan minta Singapura serahkan orang berkenaan kepada kita untuk tujuan siasatan."

"Tidak perlu ekstradisi kerana ini adalah kerjasama yang sudah sedia terjalin di bawah undang-undang sama Malaysia dan Singapura. Jika saksi itu ada di sini, kita akan serah pada Singapura. Begitu juga 'vice versa'."

"Kalau ada di Singapura, tanggungjawab negara Singapura serah saksi itu kepada kita melalui permohonan tertentu," kata Azam kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Debat Anti Rasuah Pengajian Tinggi di Universiti Teknologi Petronas (UTP), Seri Iskandar.
 
Tan Sri Azam berkata beberapa tangkapan turut dibuat melibatkan ejen luar negara dan pegawai daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Dalam operasi khas sekitar Selangor dan Kuala Lumpur baru-baru ini, sebanyak 19 buah lori kontena ditahan kerana disyaki membawa barangan lari cukai pelbagai jenis yang diseludup keluar tanpa melalui pemeriksaan.

Siasatan awal mendapati sindiket memiliki lebih 10 syarikat 'forwarding' yang digunakan bagi menyeludup barang-barang import dengan membuat pengisytiharan cukai palsu.
 
Pada 5 Jun lalu, Mahkamah Majistret Putrajaya membenarkan dua individu direman selama empat hari bagi membantu siasatan di bawah Akta SPRM 2009, Akta Pengubahan Wang Haram, Akta Kastam 1967 dan Akta di bawah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM