Sidang Kemuncak ASEAN ke-47: Laluan ditutup secara berperingkat

KUALA LUMPUR, 14 Oktober – Beberapa laluan utama di ibu negara akan ditutup secara berperingkat bersempena penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang dijadual berlangsung di Kuala Lumpur dari 26 hingga 28 Oktober ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penutupan laluan utama sekitar KLCC dilaksanakan secara berperingkat semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.
  • Jalan terjejas termasuk Jalan Ampang, Jalan P. Ramlee, Jalan Tun Razak, Jalan Kia Peng dan sebahagian AKLEH.
  • Pengguna dinasihatkan rancang perjalanan awal, guna laluan alternatif dan patuhi arahan penguat kuasa; ikuti kemas kini DBKL.

Menurut Pusat Info Trafik dan Kawalan Lampu Isyarat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), penutupan akan dilaksanakan secara berkala membabitkan jalan-jalan utama sekitar Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dan kawasan berhampiran.

Antara laluan yang terjejas termasuk Jalan Ampang, Jalan P. Ramlee, Jalan Yap Kwan Seng,Jalan Pinang,Jalan Tun Razak (sekitar KLCC),Jalan Kia Peng dan sebahagian Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH).

“Penutupan akan dijalankan secara berperingkat mengikut jadual dan keperluan trafik, terutamanya melibatkan pergerakan delegasi dan acara rasmi sidang tersebut,” demikian menurut kenyataan berkenaan.

Pengguna jalan raya dinasihatkan merancang perjalanan lebih awal, menggunakan laluan alternatif serta mematuhi arahan anggota penguat kuasa yang bertugas sepanjang tempoh berkenaan.

Maklumat lanjut serta kemas kini trafik dari semasa ke semasa boleh diperoleh melalui saluran rasmi DBKL dan media sosial KLCCC.