fb fb fb fb fb

Siasatan salah guna kuasa ATM, lihat pelbagai faktor - Adly

Foto BERNAMA

ALOR GAJAH, 9 Mac- Kementerian Pertahanan memberi jaminan akan melihat pelbagai faktor bagi memastikan siasatan penyalahgunaan kuasa Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berjalan dengan lebih terbuka dan telus. 

Ia juga sekali gus memastikan mereka yang menjadi mangsa dapat keluar daripada trauma tersebut. 

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata pihaknya mempunyai proses dan prosedur operasi standard (SOP) tersendiri dalam memberi keadilan terhadap semua isu berbangkit terutama berkaitan masalah disiplin dan salah guna kuasa oleh mana-mana pihak tanpa mengira pangkat. 

Katanya, antara tindakan yang diambil termasuklah pengasingan kuasa. 

"Kita di Kementerian Pertahanan tidak nafikan sebagai anggota pertahanan semua laporan-laporan yang kita terima sama ada di peringkat dalaman atau di bawa ke luar (melibatkan polis), memang kita ada SOP di peringkat dalaman seperti dalam kenyataan Panglima Tentera Darat. Penyiasat peringkat dalaman itu penting, sebab itu dalam proses kita kalau ada terkait dengan pegawai-pegawai itu kita lihat daripada proses itu. Kita ketepikan dulu daripada kuasa pegawai itu supaya dilakukan secara bebas," katanya kepada pemberita ketika hadir pada Karnival Rahmah Parlimen Alor Gajah dan Pelancaran Ziarah Medik Madani di Dataran Keris, di sini.

Media sebelum ini melaporkan Tentera Darat Malaysia (TDM) mengesahkan menerima laporan berhubung dakwaan
penyalahgunaan kuasa dan menggunakan kekerasan oleh seorang pegawai kanan TDM di Sarawak terhadap seorang lagi pegawainya. 

Mengulas lanjut Adly berkata pihaknya sentiasa terbuka untuk menerima segala laporan dan bersedia melakukan siasatan dalaman berkaitan permasalahan yang dibangkitkan.

Dalam pada itu, Parlimen Alor Gajah menyasarkan untuk menyantuni kira-kira 200 golongan memerlukan melalui program insentif kesihatan yang dijalankan di Parlimen itu, sepanjang tahun ini. 

Adly yang juga Ahli Parlimen itu berkata khidmat kesihatan yang dijalankan daripada rumah ke rumah berkenaan dijalankan Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Alor Gajah dengan kerjasama Universiti Melaka (UNIMEL). 

"Melalui program itu, antara perkhidmatan ditawarkan adalah khidmat nasihat kesihatan, kebersihan, bantuan peralatan-peralatan kesihatan dan sebagainya," kata Adly.

Adly berkata inisiatif kesihatan sama ada melalui Program Ziarah Medik Madani ataupun beberapa perkhidmatan kesihatan yang lain akan diteruskan secara mingguan mahupun bulanan bagi membantu masyarakat di bawah Parlimen Alor Gajah.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM