
JOHOR BAHRU, 2 September – Proses siasatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) terhadap isu Tabung Haji (TH) berpotensi mengembalikan keyakinan pendeposit dalam kalangan umat Islam negara kerana ia memberi gambaran lebih jelas tentang isu tersebut.
- RCI berpotensi mengembalikan keyakinan pendeposit dengan memberikan gambaran lebih jelas tentang isu Tabung Haji.
- Laporan RCI perlu dijadikan panduan jangka panjang untuk memperbaiki tadbir urus, struktur lembaga dan pelantikan kepimpinan.
- Laporan juga harus menekankan disiplin kewangan termasuk pembayaran hibah serta mekanisme cabaran keputusan pengurusan yang bercanggah.
Pengerusi Akademi Tamadun Islam, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Nasrul Hisyam Nor Muhammad berkata, RCI juga dapat memberi manfaat untuk jangka masa panjang, menjadi panduan dalam memperbaiki isu-isu dalam TH pada masa akan datang.
Usaha itu penting kerana Tabung Haji berkait rapat dengan ibadah umat Islam, menunaikan haji dan laporan RCI perlu diterjemahkan dalam bentuk perubahan, khusus tadbir urus yang boleh diperbaiki serta memperkukuh struktur lembaga serta pelantikan kepimpinan.
“Sekiranya terdapat keputusan pengurusan yang bertentangan dengan prinsip tadbir urus Tabung Haji, lembaga itu sendiri mungkin boleh mencabar keputusan pihak pengurusan sekiranya terdapat percanggahan antara kedua-duanya,” katanya ketika dihubungi RTM.
Beliau berkata demikian ketika mengulas berkenaan proses siasatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) terhadap isu Tabung Haji (TH) .
Selain itu, laporan RCI juga perlu memberi penekanan kepada disiplin kewangan termasuk pembayaran hibah.