fb fb fb fb fb

Siasatan isu penjadualan semula penerbangan diumum dalam masa terdekat

KUALA LUMPUR, 14 Mei- Hasil siasatan berkenaan isu penjadualan semula penerbangan oleh syarikat penerbangan semasa musim perayaan baru-baru ini, akan diumum dalam masa terdekat.

Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) menerusi kenyataan memaklumkan, pihaknya akan berpandukan mekanisme pengenaan penalti kewangan sedia ada sekiranya terdapat sebarang ketidakpatuhan terhadap Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia (MACPC) atau Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015.

Di bawah kod tersebut, syarikat penerbangan perlu menyelesaikan aduan pengguna dalam tempoh 30 hari selepas aduan diterima.

Sekiranya maklum balas yang diberikan oleh syarikat penerbangan tidak memuaskan atau tidak dapat diselesaikan, pengguna diminta mengemukakan aduan kepada MAVCOM berserta dokumentasi berkaitan.

(Foto fail)

Aduan boleh dikemukakan menerusi laman sesawang FlySmart atau aplikasi mudah alih FlySmart.

Sejak penubuhannya, MAVCOM telah mengenakan penalti berjumlah RM4.7 juta terhadap syarikat penerbangan yang tidak mematuhi MACPC.

MACPC yang diperkenal pada 2016 dan ditambah baik pada 2019, bertujuan melindungi kepentingan pengguna dalam perjalanan udara.

Media Baharu