
CYBERJAYA, 14 November – Ibu bapa yang mempunyai anak berkeperluan khas tidak seharusnya berasa malu atau menganggap kehadiran mereka sebagai beban keluarga, sebaliknya perlu memberikan perhatian, kasih sayang dan pendidikan sewajarnya bagi membantu mereka berkembang serta menyerlahkan potensi diri.
- Galakkan ibu bapa membawa anak berkeperluan khas bergaul dengan masyarakat dan bersekolah di pusat khas dengan pendekatan pembelajaran sesuai.
- Penerimaan keluarga dan kesedaran awam penting supaya anak istimewa tidak terpinggir dalam kehidupan bermasyarakat.
- Sambutan BAKTI memberi pengalaman inklusif; pementasan bakat meningkatkan keyakinan dan kemahiran sosial kanak-kanak.
- Inisiatif seperti Satu PPDK Satu Produk, kursus kemahiran, klinik bergerak dan pertandingan menyokong pembangunan serta pemasaran produk OKU.
Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri (BAKTI), Datin Seri Hamidah Khamis berkata, masih terdapat keluarga yang memilih untuk menyembunyikan anak istimewa daripada masyarakat kerana berasa malu dengan keadaan mereka.
Beliau yang juga isteri kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, tanggapan sedemikian perlu diubah kerana setiap anak mempunyai keistimewaan tersendiri dan berpotensi menunjukkan perkembangan positif sekiranya diberikan penjagaan serta didikan bersesuaian.
“Anak-anak istimewa ini sebenarnya, kalau kita jaga dengan baik, masya-Allah, mereka lebih mudah dijaga. Cuma mereka memerlukan perhatian, kasih sayang dan pendekatan didikan daripada ibu bapa yang memahami keadaan mereka.
“Jadi, saya minta sangat-sangat kepada ibu bapa dan keluarga yang mempunyai anak istimewa supaya menjaga mereka dengan baik dan penuh kasih sayang,” katanya kepada media selepas Majlis Sambutan Hari Kanak-Kanak BAKTI 2026 di sini, hari ini.
Datin Seri Hamidah turut menggalakkan ibu bapa membawa anak berkeperluan khas keluar bergaul dengan masyarakat serta menghantar mereka ke sekolah khas yang menyediakan kemudahan dan pendekatan pembelajaran bersesuaian dengan keperluan masing-masing.
Beliau berkata, penerimaan dan kesedaran dalam kalangan keluarga penting bagi memastikan anak istimewa tidak terpinggir daripada kehidupan bermasyarakat.
“Jangan berasa malu dan jangan anggap apabila mempunyai anak seperti ini, ia satu beban. Sebaliknya, anggaplah mereka sebagai anak istimewa dalam kehidupan kita,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, sambutan berkenaan merupakan sebahagian daripada inisiatif kebajikan dan kemasyarakatan BAKTI untuk memberikan pengalaman ceria, inklusif dan bermakna kepada kanak-kanak, khususnya daripada Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK).
Menurutnya, setiap kanak-kanak berhak menikmati zaman kanak-kanak yang bahagia, mendapat kasih sayang dan perlindungan serta diberikan peluang untuk belajar dan berkembang dalam persekitaran selamat dan sejahtera.
Sambutan yang menghimpunkan kira-kira 470 tetamu itu turut melibatkan kanak-kanak daripada PPDK, Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), prasekolah, sekolah rendah dan menengah serta rumah anak yatim.
Pelbagai persembahan termasuk tarian, qasidah, nyanyian dan teater muzikal mini dipentaskan bagi mengetengahkan bakat serta kreativiti peserta, selain meningkatkan keyakinan diri dan kemahiran sosial mereka.
Program itu turut menampilkan inisiatif ‘Satu PPDK Satu Produk’ yang memberi peluang kepada pusat PPDK dan usahawan kecil dalam kalangan Orang Kurang Upaya (OKU) mempromosikan serta memasarkan produk masing-masing.
Mengulas usaha memperluas program berkenaan, Datin Seri Hamidah berkata, BAKTI berhasrat mendekati lebih banyak komuniti PPDK dengan membawa anak istimewa ke hadapan bagi mengetengahkan kebolehan serta potensi mereka.
“Mungkin selepas ini saya dan rakan-rakan yang lain akan memikirkan bagaimana kita boleh bergerak ke tempat-tempat yang mempunyai anak-anak ini. Kita boleh bawa mereka ke hadapan untuk dijadikan contoh dan usaha ini boleh kita perkembangkan lagi, insya-Allah,” katanya.
Untuk rekod, program kebajikan BAKTI menerusi Jawatankuasa Kecil Projek Khas dilaksanakan sejak 2005 bagi menyokong usaha Pemulihan Dalam Komuniti.
Antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk kursus peningkatan kemahiran PPDK, klinik bergerak PDK Ku Sihat, pertandingan bakat istimewa serta program Satu PPDK Satu Produk.