
KUALA LUMPUR, 14 November – Malaysia akan terus mengamalkan pendekatan terbuka dalam menjalin hubungan baik dengan Amerika Syarikat (AS) dan China, dengan mengutamakan kepentingan ekonomi, diplomatik serta keselamatan negara.
- Kekalkan hubungan perdagangan dan pelaburan dengan AS meskipun berlainan pendirian terhadap isu antarabangsa.
- Pertimbangkan kesan hubungan dengan AS terhadap ekonomi dan peluang pekerjaan rakyat.
- Kekal hubungan persahabatan dengan China dan tangani pertikaian Laut China Selatan melalui rundingan damai.
- Seimbangkan diplomasi dengan keupayaan mempertahankan keselamatan serta kedaulatan tanpa memusuhi mana-mana negara.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata meskipun Malaysia mempunyai perbezaan pendirian dengan AS dalam beberapa isu antarabangsa, termasuk penindasan rakyat Palestin di Gaza, hubungan perdagangan dan pelaburan dengan negara itu perlu terus dipelihara.
Beliau berkata, AS ketika ini merupakan pelabur nombor satu dan rakan dagang terbesar Malaysia, justeru sebarang keputusan berkaitan hubungan kedua-dua negara perlu mengambil kira kesannya terhadap ekonomi serta peluang pekerjaan rakyat.
“Kita setuju tak dengan dasar dia? Banyak kita tak setuju. Dia izinkan penindasan dan penganiayaan penjajahan ke atas Palestin dan Gaza. Beberapa dasar dia, negara-negara Teluk dan Arab, itu tidak adil.
“Tetapi Amerika Syarikat itu nombor satu pelabur di Malaysia. Nombor satu rakan dagang dengan Malaysia.
“Jadi kalau kadang-kadang saya dengar orang kata, mesti tegas, mesti lawan. Yalah, aku lawan tak apa. Tapi yang hilang kerja ini puluh ribu orang. Beratus ribu orang,” katanya. semasa Sesi Temu Anwar Bersama Wira Muda Negara di sini hari ini.
Mengulas hubungan dengan China, Datuk Seri Anwar berkata, Malaysia turut mengekalkan hubungan persahabatan yang baik dengan negara itu, hasil
pendekatan diplomatik yang dimulakan sejak era kepimpinan Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein.
Beliau turut berkata, hubungan baik dengan China juga penting mengambil kira kedudukan Malaysia sebagai negara maritim yang mempunyai kepentingan serta isu sempadan di Laut China Selatan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan sebarang perbezaan atau pertikaian sempadan perlu ditangani menerusi rundingan dan pendekatan damai, tanpa menjejaskan ketegasan Malaysia dalam mempertahankan kedaulatan negara.
Tambah beliau, Malaysia tidak berhasrat memusuhi mana-mana negara, sebaliknya perlu bijak mengurus hubungan antarabangsa bagi memastikan kepentingan nasional terus terpelihara.
Pada masa sama, pendekatan diplomasi dan persahabatan dengan negara lain perlu diseimbangkan dengan keupayaan mempertahankan keselamatan serta kedaulatan negara.