DUNGUN, 16 Februari - Sebutir bom tangan ditemui di kawasan susur keluar Plaza Tol Bukit Besi di Dungun, tengah hari tadi.
Bom tangan berkenaan ditemui seorang pemotong rumput semasa sedang memotong rumput di kawasan Lebuhraya Pantai Timur Fasa Dua (LPT2).
Ketua Polis Daerah Dungun Superintenden Maizura Abdul Kadir berkata, pemotong rumput berkenaan segera menghubungi talian MERC 999 selepas curiga dengan objek tersebut.
Laluan di kedua-dua arah lebuh raya berkenaan terpaksa ditutup sepanjang 300 meter bagi keselamatan pengguna.
Sepasukan anggota dari Unit Pemusnah Bom, Ibupejabat Polis Kontinjen Terengganu berjaya memusnahkan bom berkenaan pukul 4.00 petang tadi.
Polis kini sedang melakukan siasatan bagi mengenal pasti individu yang bertanggungjawab meletakkan bom tangan itu di lebuh raya berkenaan.