fb fb fb fb fb

Senyar: Hujan lebat, angin kencang dijangka bermula tengah malam ini

Foto RTM

PETALING JAYA, 27 November - Ribut Tropika Senyar yang dikesan memasuki ruang udara Malaysia sejak petang tadi berpotensi membawa hujan lebat berterusan, angin kencang dan laut bergelora di semenanjung bermula tengah malam ini hingga Sabtu.

Justeru, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip menasihatkan orang ramai terutama di sempadan Selangor-Perak dan Pahang supaya berwaspada.

"Ribut Tropika Senyar yang terlebih dahulu membadai Indonesia telah dikesan berada di Perairan Selat Melaka dan dijangka bergerak menuju ke Semenanjung Malaysia.

"Ribut ini dikesan pada kedudukan Latitud 3.6 darjah Utara dan Longitud 100.4 darjah Timur dan dijangka bergerak ke arah timur dengan kelajuan sembilan kilometer sejam (km/j) dan boleh mencecah 50 km/j," jelasnya pada sidang media berhubung Ribut Tropika Senyar, di sini hari ini.

Tambah beliau, meskipun berada di luar laluan utama ribut tropika, Malaysia pernah dibadai ribut itu sebanyak dua kali iaitu Greg pada 1996 dan Vamey pada 2001.

Beliau turut memaklumkan yang MetMalaysia telah mengeluarkan nasihat berkaitan sistem Ribut Tropika Senyar sejak 23 November lalu dan maklumat berkaitan akan dikemas kini setiap tiga jam.

Jelas Dr Mohd Hisham, tiga amaran telah berkuat kuasa iaitu Amaran Ribut Tropika, Amaran Hujan Lebat Berterusan dan Amaran Angin Kencang serta Laut Bergelora melibatkan hampir seluruh Semenanjung, termasuk Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Pahang, berkuat kuasa sehingga 29 November ini.

"Justeru, orang ramai diminta sentiasa siap siaga dengan episod hujan lebat yang agak luar biasa kali ini," ujarnya.

SITI NOOR KASANABILAH BINTI KAMARUL ZAMAN