
PUTRAJAYA 16 Mac – Semua rakyat Malaysia yang terkandas akibat konflik Asia Barat telah selamat dibawa pulang, termasuk mereka yang menunaikan umrah secara kendiri.
- MKN mengambil alih tugas dan akan memberi nasihat kepada Kementerian Luar untuk menyelaras.
- Tiada operasi membawa pulang untuk penduduk tetap kerana ruang udara dibuka; mereka boleh pulang sendiri.
- Serangan Israel dan Amerika Syarikat terhadap Iran dianggap peperangan tidak diisytiharkan, menjejaskan kestabilan ekonomi dunia.
- Malaysia mengecam sekeras-kerasnya serangan tersebut seperti dinyatakan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan memaklumkan, bagi rakyat Malaysia yang menetap di negara terjejas, tiada operasi membawa pulang buat masa ini kerana ruang udara telah dibuka dan mereka boleh pulang sendiri.
‘Tugas ini telah pun diambil alih oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan pihak MKN akan memberi nasihat kepada Kementerian Luar untuk menyelaras. Setakat hari ini, kita telah membawa semua rakyat Malaysia yang terkandas di Lapangan Terbang di Asia Barat termasuk mereka yang mengerjakan umrah secara sendiri,’ katanya selepas menghadiri Forum Ilmuwan Malaysia MADANI (FIM) anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi di sini.
Dalam pada itu, Datuk Seri Mohamad menegaskan serangan oleh Israel dan Amerika Syarikat terhadap Iran sebagai peperangan tidak diisytiharkan yang memberi kesan kepada kestabilan ekonomi dunia.
Malaysia turut mengecam sekeras-kerasnya serangan terhadap negara berdaulat itu seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim di Parlimen.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai sama ada terdapat kapal dagang dari Malaysia yang disekat di Selat Hormuz, beliau menyatakan tiada perkembangan baharu memandangkan laluan Selat Hormuz itu masih ditutup.