
DURIAN TUNGGAL, 8 Mac -Semua anggota Batalion Malaysia (MALBATT) 850-13 yang sedang melaksanakan penugasan di selatan Lubnan berada dalam keadaan selamat, walaupun kedudukan mereka berhampiran zon konflik di rantau tersebut.
- Kementerian Pertahanan mempunyai Prosedur Operasi Standard untuk menjamin keselamatan anggota di lapangan.
- Malaysia bertugas di bawah panji Pertubuhan Bangsa Bersatu dan bukan pihak yang terlibat dalam peperangan.
- Hasrat Malaysia adalah bekerjasama menjaga keamanan dan membantu negara yang memerlukan melalui misi keamanan.
- Rakyat Malaysia di sana dinasihatkan sentiasa menjaga keselamatan diri untuk mengelak sebarang perkara tidak diingini.
Timbalan Menteri Pertahan, Adly Zahari berkata, kementeriannya mempunyai Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi memastikan keselamatan anggota pasukan itu terjamin.
“Kita tidak terlibat dalam peperangan ini. Namun yang paling penting, kita berada di sana bawah panji Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB). Hasrat Malaysia adalah untuk bekerjasama dalam usaha menjaga keamanan, bukan sahaja di negara kita, tetapi juga membantu negara-negara yang memerlukan melalui misi keamanan.
“Malaysia sentiasa komited untuk memastikan dunia menjadi lebih aman dan, jika boleh, mengelakkan berlakunya peperangan,” katanya kepada media selepas Majlis Berbuka Puasa Bersama Pekerja Pembersihan dan Rakan Media di Japerun Durian Tunggal.
Adly menasihatkan rakyat Malaysia yang masih berada di sana supaya sentiasa menjaga keselamatan diri bagi mengelak sebarang perkara tidak dingini.