fb fb fb fb fb

Semakan kehakiman tidak halang KKM teruskan pendekatan pendidikan

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad / Foto Bernama

PUTRAJAYA, 30 Julai – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan meneruskan pendekatan penguatkuasaan secara pendidikan berhubung peraturan yang mewajibkan kemudahan jagaan kesihatan swasta mempamerkan harga ubat-ubatan, meskipun terdapat permohonan semakan kehakiman terhadap pelaksanaannya.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata KKM menghormati proses undang-undang yang sedang berlangsung dan tidak menghalang mana-mana pihak daripada mengemukakan semakan kehakiman.

“Saya sangat memahami dan sedar akan semakan kehakiman yang dikemukakan. Kami juga pernah berdepan cabaran serupa terhadap Akta 852 (Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024),” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Persidangan Penilaian Teknologi Kesihatan Kebangsaan 2025 dan Sambutan Ulang Tahun Ke-30 Cawangan Penilaian Teknologi Kesihatan (MaHTAS) di sini, hari ini.

Menurut beliau, meskipun berdepan cabaran perundangan, KKM akan tetap meneruskan pendekatan penguatkuasaan secara pendidikan bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan pengamal perubatan dan pengguna.

“Kita menghormati proses perundangan yang sedang berlangsung, dan pendekatan kita adalah untuk teruskan penguatkuasaan secara pendidikan sehingga keputusan mahkamah diperoleh,” ujarnya.

Sebelum ini, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) bersama tujuh pihak lain telah memfailkan permohonan semakan kehakiman terhadap kewajipan mempamerkan harga ubat di premis kesihatan swasta.

Permohonan itu difailkan menerusi firma guaman Tetuan Ngeow Law Practice pada 25 Julai lalu, dengan menamakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Menteri Kesihatan, serta Kerajaan Malaysia masing-masing sebagai responden pertama hingga ketiga.

Permohonan itu bertujuan mendapatkan perintah membatalkan keputusan KPDN bertarikh 29 April 2025, yang telah diwartakan pada 30 April 2025.

Dalam pada itu, Dr Dzulkefly turut menegaskan tiada sebarang denda atau kompaun dikenakan dalam tempoh tiga bulan pertama pelaksanaan peraturan tersebut, yang akan berakhir pada 31 Julai 2025, memandangkan fokus utama KKM ketika ini adalah aspek pendidikan.

Setakat ini, KPDN mahupun KKM belum mengumumkan sebarang lanjutan tempoh kelonggaran tersebut yang dijadualkan tamat esok.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN