SERDANG, 2 Mei - Sektor agromakanan menunjukkan pertumbuhan memberangsangkan tahun lalu dengan peningkatan 4.3 peratus kepada RM181.4 billion.
Angka itu menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 11.6 peratus.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata melihat kepada potensi besar itu, pihaknya giat meneroka potensi baharu di luar negara bagi pasaran agromakanan tempatan.
"Nilai import agromakanan negara kita pada tahun 2023 adalah RM78.7 billion, sedangkan nilai eksport kita adalah sebanyak RM46.38 billion. Defisit ini masih terlalu tinggi dan usaha untuk mengurangkan defisit ini perlu dipertingkatkan supaya pengaliran keluar wang negara dapat dikurangkan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat dan Sambutan Mesra Aidilfitri 2024 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), di sini.
Mohamad turut menekankan Pelan Inovasi Nasional Keterjaminan Agromakanan Rakyat (PINTAR) perlu diberikan fokus sebagai penyelesaian jangka panjang terhadap masalah pertanian yang berterusan.