
KUALA LUMPUR, 27 Julai – Peminat sukan permotoran meluahkan keterujaan selepas Malaysia dipilih menjadi tuan rumah Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix 2026 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) yang dijadualkan pada 2 hingga 4 Oktober depan.
- Peminat bersyukur F1 kembali selepas hampir sedekad, rasa bangga kepada pihak terlibat dan kerajaan.
- Penganjuran F1 dijangka merancakkan pelancongan dan menaikkan imej Malaysia di peringkat antarabangsa.
- Acara ini membuka peluang pekerjaan untuk anak muda dan meningkatkan pendapatan kepada para peniaga tempatan.
- Keputusan memindahkan perlumbaan dibuat susulan kebimbangan keselamatan di Asia Barat, menurut kenyataan rasmi.
Bagi seorang peminat, Muhammed Mikhrage Abdullah pengumuman itu menamatkan penantiannya hampir sedekad sejak perlumbaan berkenaan itu kali terakhir dianjurkan pada tahun 2017.
“Saya sangat bangga kepada pihak yang terlibat untuk membawa F1 ke SIC selepas sembilan tahun.
“Kali terakhir dianjurkan pada 2017 tetapi sekarang akhirnya negara bawa semula F1 ini.Jadi alhamdulillah, saya sangat berterima kasih kepada kerajaan,” katanya kepada RTM.
Sementara itu, Muhammad Nabil Harith pula berkata penganjuran F1 bukan sahaja mampu merancakkan sektor pelancongan malah meningkatkan imej negara di mata dunia memandangkan sukan berkenaan memiliki jutaan pengikut di seluruh dunia.
“F1 merupakan sukan bertaraf dunia yang mempunyai jumlah peminat yang sangat besar dari seluruh dunia, malah pengaruhnya jauh melebihi jangkaan.
“Apabila Malaysia menjadi tuan rumah perlumbaan ini, ia bukan sahaja meningkatkan jumlah pelancong malah mengangkat nama negara di peringkat antarabangsa,” katanya.
Dalam pada itu, Muhammad Arif Radzuan pula berpandangan penganjuran F1 itu membuka peluang pekerjaan kepada anak muda selain menjana pendapatan kepada para peniaga.
“Saya harap ini satu peluang untuk vendor-vendor kita manfaatkan untuk menjana pendapatan dan tarik anak muda bekerja,” katanya.
Terdahulu, Formula Satu (F1) menerusi laman web rasminya pada Ahad mengumumkan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) secara rasmi dipilih sebagai tuan rumah Grand Prix Formula 1 Gulf Air Bahrain
Pengumuman itu dibuat menerusi laman sesawang rasminya pada Ahad dengan perlumbaan melibatkan Grand Prix Azerbaijan dan Grand Prix Singapura.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keputusan Bahrain memindahkan perlumbaan itu ke Malaysia dibuat berikutan kebimbangan terhadap situasi keselamatan di Asia Barat.