
KUALA LUMPUR, 27 Julai – Kerajaan menyediakan lebih RM5 bilion pembiayaan strategik menerusi platform TechnoMART Malaysia: High Tech Financing 2026 bagi mempercepatkan pengkomersialan teknologi tempatan serta memperkukuh pembangunan syarikat pemula dan inovator negara.
- Kerjasama 15 organisasi menawarkan pembiayaan strategik sepanjang kira-kira 18 bulan untuk mempercepat pengkomersialan teknologi tempatan.
- TechnoMART menghubungkan inovator, pelabur, agensi kerajaan dan institusi kewangan bagi memperkukuh ekosistem inovasi negara.
- Matlamatnya ialah menjadikan Malaysia pencipta, pemilik dan pengeksport teknologi tempatan ke peringkat global.
Pembiayaan yang melibatkan kerjasama 15 organisasi, termasuk agensi pembiayaan dan institusi kewangan, akan ditawarkan sepanjang tempoh kira-kira 18 bulan.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Chang Lih Kang berkata syarikat teknologi memerlukan pembiayaan berterusan pada setiap peringkat pertumbuhan, bermula daripada penyelidikan dan pembuktian konsep sehingga pengesahan pasaran, pengembangan perniagaan serta penembusan ke pasaran antarabangsa.
“Setiap peringkat memerlukan instrumen pembiayaan yang berbeza seperti geran, ekuiti, pembiayaan hutang, jaminan kewangan, pembiayaan hibrid dan modal kerja,” katanya selepas merasmikan program TechnoMART Malaysia: High Tech Financing 2026, di sini, hari ini.
Beliau berkata TechnoMART Malaysia diwujudkan sebagai platform nasional yang menghubungkan inovator, pelabur, agensi kerajaan dan institusi kewangan bagi memperkukuh ekosistem inovasi negara serta merapatkan jurang dalam proses pengkomersialan teknologi.
Menurutnya, banyak inovasi tempatan mempunyai potensi besar untuk dipasarkan, namun masih berdepan kekangan dari segi pembiayaan, jaringan industri dan akses pasaran.
Sehubungan itu, platform berkenaan bukan sahaja menyediakan akses kepada pembiayaan, malah membuka peluang kepada inovator mendapatkan khidmat nasihat perniagaan, penilaian teknikal, kerjasama strategik dan akses ke pasaran.
Tambah beliau, inisiatif tersebut selaras dengan usaha kerajaan menjadikan Malaysia bukan sekadar pengguna teknologi, sebaliknya negara pencipta, pemilik dan pengeksport teknologi tempatan ke peringkat global.
“Kita mahu teknologi yang dibangunkan di Malaysia bukan sahaja digunakan di dalam negara, malah berjaya menembusi pasaran antarabangsa,” katanya.