
AYER KEROH, 27 Julai – Semua cadangan dikemukakan usahawan yang dibawa ke Majlis Pembangunan Usahawan dan PMKS Kebangsaan (MPUPK) akan diteliti dan ditambahbaik sebelum tindakan lanjut diambil.
- Usahawan memohon jumlah geran ditambah bagi menyokong perkembangan perniagaan PKS.
- Perkara birokrasi bagi usahawan baru dibincang; syarat akan diperhalusi tetapi pengurangan perlu berhati-hati kerana dana kerajaan.
- Isu akan dibawa ke majlis untuk kajian lanjut sebelum tindakan diambil.
- Jelajah Turun Padang akan diteruskan ke Zon Timur, Pahang dipilih tuan rumah untuk dapatkan maklum balas lebih ramai usahawan PKS.
Penasihat Khas MPUPK, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata antara perkara utama yang dibangkitkan ialah permohonan supaya jumlah geran kepada usahawan ditambah bagi menyokong perkembangan perniagaan mereka.
Usaha ini dapat membantu usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam menyelesaikan masalah dihadapi khususnya mereka yang baharu memulakan perniagaan.
“Antara yang dibangkitkan ialah membabitkan individu yang baharu memulakan perniagaan yang mendakwa ada sedikit masalah, birokrasi dan sebagainya. Perkara ini akan kita perhalusi. Mereka minta longgarkan tadi. Saya setuju, tapi nak longgar sangat pun tak boleh juga sebab ini duit kerajaan.
Ada peraturan dan kaedah tertentu tetapi kita boleh pertimbangkan syarat tersebut. Saya akan bawa perkara ini pada majlis dan mengkajinya,” jelas beliau.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis bersama usahawan bumiputera Zon Selatan di sini.
Siri Jelajah Turun Padang berkenaan akan diteruskan ke Zon Timur dengan Pahang dipilih sebagai tuan rumah bagi membolehkan kerajaan mendapatkan maklum balas daripada lebih ramai usahawan PKS.
“Setakat ini terdapat kira-kira 1.1 juta usahawan PKS di seluruh negara,” ujar beliau lagi.