TPM Zahid rasmi Bengkel Persiapan Bencana Udara

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi / RTM

SEPANG, 27 Julai – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini merasmikan Majlis Perasmian Siaga Bencana Udara Kebangsaan 2026: Bengkel Persiapan Bencana Udara, sebagai usaha memperkukuh kesiapsiagaan negara dalam menghadapi sebarang insiden penerbangan menerusi penyelarasan lebih mantap antara pelbagai agensi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Bengkel memperkukuh kerangka pengurusan bencana udara melalui tadbir urus jelas, penyelarasan antara agensi dan penambahbaikan berterusan.
  • Menghimpunkan lebih 100 wakil kementerian, agensi penguatkuasa, pasukan keselamatan, penyelamat, syarikat penerbangan dan pengendali lapangan terbang.
  • Menyemak keselarasan Pelan Kecemasan Aerodrom, NAMSAR dan Arahan NADMA No.1 serta merangka cadangan penambahbaikan SOP dan prosedur.
  • Hasil dijangka mempertingkat komunikasi antara agensi, kecekapan membuat keputusan dan kesiapsiagaan demi keselamatan penumpang, kakitangan dan orang awam.

Program anjuran Malaysia Airports dengan kerjasama NADMA itu bertujuan memperkukuh kerangka pengurusan bencana udara negara melalui tadbir urus yang jelas, penyelarasan antara agensi serta penambahbaikan berterusan bagi memastikan negara lebih bersedia menghadapi sebarang insiden penerbangan.

Turut hadir Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah; Pengerusi Malaysia Airports, Tan Sri (Dr) Azmil Khalid; Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Seri Jana Santhiran Muniayan; Pengarah Urusan Malaysia Airports, Datuk Mohd Izani Ghani; serta Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Meor Ismail Meor Akim.

Malaysia Airports dalam kenyataannya memaklumkan, bengkel selama dua hari itu menghimpunkan lebih 100 wakil kementerian, agensi penguat kuasa, pasukan keselamatan dan penyelamat, perkhidmatan kecemasan, syarikat penerbangan, pengendali lapangan terbang serta pemain industri berkaitan bagi menilai keupayaan pengurusan bencana udara di luar kawasan lapangan terbang secara bersepadu.

“Selain memperkukuh koordinasi antara kementerian dan agensi tindak balas kecemasan, bengkel itu turut menyemak keselarasan kawasan tanggungjawab antara Pelan Kecemasan Aerodrom (AEP), Manual Mencari dan Menyelamat Aeronautika dan Maritim Kebangsaan (NAMSAR) serta Arahan NADMA No. 1, di samping merangka cadangan penambahbaikan terhadap dasar, prosedur dan kesiapsiagaan pengurusan bencana udara negara.

“Sepanjang bengkel, peserta mengikuti pembentangan, perbincangan teknikal, perkongsian amalan terbaik, simulasi krisis dan latihan berasaskan senario bagi menguji keberkesanan penyelarasan serta tindak balas antara agensi ketika berdepan situasi kecemasan,” menurut kenyataan tersebut.

Program itu merupakan kesinambungan Latih Amal Ex Urban Falcon 2026 yang diadakan pada 16 Julai lalu berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Denai Alam di Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH), membabitkan penyertaan kira-kira 450 peserta daripada 20 agensi.

Latih amal berkenaan mensimulasikan nahas sebuah pesawat ATR 72-600 yang mengalami kegagalan enjin beberapa minit selepas berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang sebelum terhempas di kawasan R&R Denai Alam, sekali gus menjadi simulasi kemalangan udara berskala penuh pertama di Malaysia yang dilaksanakan di luar perimeter operasi lapangan terbang.

Hasil bengkel itu dijangka menjadi asas kepada penambahbaikan prosedur operasi standard (SOP), memperkukuh komunikasi antara agensi serta meningkatkan kecekapan membuat keputusan ketika berdepan kecemasan, sekali gus memperkasakan strategi pengurusan bencana udara negara demi keselamatan penumpang, kakitangan lapangan terbang dan orang awam.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.