RUU Statistik 2026 dijangka diwartakan hujung tahun ini

Foto RTM

PUTRAJAYA, 27 Julai Rang Undang-Undang (RUU) Statistik 2026 dijangka diwartakan menjelang hujung tahun ini selepas melengkapkan proses pentadbiran susulan kelulusannya di Parlimen.

RINGKASAN BERITA AI
  • Menggantikan Akta Perangkaan 1965 dengan kerangka perundangan lebih moden selaras perkembangan ekosistem data negara.
  • Memperkukuh tadbir urus statistik melalui penubuhan Majlis Statistik Negara dan pusat repositori data tanpa menjejaskan kerahsiaan.
  • Penghasilan statistik rasmi kekal objektif dan bebas pengaruh politik; penyelidik serta wartawan boleh memohon data belum diterbitkan tertakluk syarat kerahsiaan.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir memaklumkan, ia bakal menggantikan Akta Perangkaan 1965 (Akta 415) yang telah berkuat kuasa selama 61 tahun, sekali gus mewujudkan kerangka perundangan lebih moden selaras dengan perkembangan ekosistem data negara.

“Kita sasarkan hujung tahun ini .. tapi ia adalah proses pentadbiran, maksudnya peringkat-peringkat yang akan dibawa seperti mana setiap kali apabila RUU diluluskan di peringkat Parlimen, proses pentadbiran itu akan berlaku seterusnya,” katanya pada sidang media berhubung RUU Statistik 2026 dan Perhimpunan Bulanan Kementerian Ekonomi di sini hari ini.

Menurutnya, ia turut memperkukuh tadbir urus statistik melalui penubuhan Majlis Statistik Negara selain mewujudkan pusat repositori data bagi menyelaras data daripada pelbagai agensi tanpa menjejaskan kerahsiaan maklumat.

Beliau turut menegaskan, penghasilan statistik rasmi negara akan terus dilaksanakan secara objektif dan bebas daripada pengaruh politik, manakala penyelidik, wartawan serta pihak berkepentingan boleh memohon akses kepada data yang belum diterbitkan, tertakluk kepada syarat kerahsiaan.

RUU Statistik 2026 itu telah diluluskan di Dewan Rakyat dan dijadual dibentangkan di Dewan Negara minggu depan sebelum melalui proses pewartaan.

Selepas ia berkuat kuasa, Jabatan Perangkaan Malaysia akan dikenali sebagai Jabatan Statistik.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.