
PUTRAJAYA, 19 Ogos – Pekerja tempatan terus diberi keutamaan untuk mengisi kekosongan dalam sektor kotor, berbahaya dan sukar (3D), sebelum peluang pekerjaan berkenaan dibuka kepada pekerja asing.
- Portal MYFutureJobs merekodkan hanya 352 permohonan warga tempatan berbanding puluhan ribu kekosongan.
- Pemohon dikehendaki melalui portal MYFutureJobs sebagai saluran permohonan langkah pertama.
- Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia mengemukakan memorandum bantahan berkaitan percepatan 15,000 permohonan pekerja asing.
- Kabinet membincangkan kebajikan pekerja dan dua skim, Skim Pengembara serta Skim Ibu Bersalin, akan dibentangkan di Parlimen.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, portal MYFutureJobs merekodkan hanya 352 permohonan daripada warga tempatan berbanding puluhan ribu kekosongan yang ditawarkan.
“Kita sudah menyediakan saluran permohonan, dan langkah pertama ialah pemohon perlu melalui portal MYFutureJobs.
“Selepas pekerjaan itu ditawarkan melalui portal berkenaan dan tiada rakyat Malaysia yang mengambil peluang tersebut, barulah kita membuka peluang itu kepada pekerja asing, pelarian atau pihak lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas gesaan Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menerusi memorandum bantahan kepada Pejabat Perdana Menteri (PMO) berhubung arahan kerajaan mempercepatkan pemprosesan 15,000 permohonan pekerja asing bagi memenuhi keperluan tenaga kerja.
Terdahulu beliau menyempurnakan Perhimpunan Bulanan KESUMA bagi Bulan Ogos dan Sambutan Bulan Kemerdekaan Tahun 2026 di Menara PERKESO, di sini hari ini.
Dalam pada itu dasar berkaitan pekerjaan sentiasa diutamakan kerajaan demi kesejahteraan rakyat dan negara serta memberi fokus kepada beberapa isu penting berkaitan kebajikan pekerja turut dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet hari ini.
“Kita ada bincangkan beberapa hal penting berkaitan pekerja, tindakan yang perlu diambil serta beberapa skim yang bakal diluluskan.
“Dua daripadanya yang diberi penekanan dan akan dibentangkan pada persidangan Parlimen akan datang ialah Skim Pengembara dan Skim Ibu Bersalin,” jelasnya.