Belanjawan 2027 : Golongan OKU harap aspek aksesibiliti diberi perhatian

Datuk Ras Adiba Radzi

PETALING JAYA, 19 Ogos – Golongan orang kurang upaya (OKU) berharap aspek aksesibiliti diberi perhatian lebih menyeluruh menerusi Belanjawan 2027, termasuk penyediaan kemudahan yang mudah diakses bukan sahaja di kawasan bandar, malah di luar bandar.

RINGKASAN BERITA AI
  • Akta OKU perlu diperbaiki segera dan Akta Warga Emas diperkemaskan sebagai persediaan negara menua.
  • Belanjawan 2027 tidak harus mengetepikan sokongan, kemudahan dan akses perkhidmatan untuk golongan OKU dan warga emas.
  • Stesen Damansara Idaman dinilai mesra OKU: parkir, tandas, lif luas, jubin sentuh dan tali keselamatan dalam tren diapresiasi.
  • Prasarana menghargai maklum balas OKU, menambah baik perkhidmatan, dan menggalakkan penggunaan Pas Rapid Mesra untuk perjalanan percuma.

Presiden Persatuan OKU Sentral, Datuk Ras Adiba Radzi berkata, perkara itu antara cadangan yang disarankan dalam merangka Belanjawan MADANI Kelima di Kementerian Kewangan bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada Selasa

“Semalam kami bersama pasukan pengurusan Belanjawan di Kementerian Kewangan bersama Perdana Menteri. Antara perkara yang kami sarankan adalah aksesibiliti bukan sahaja di dalam bandar, tetapi juga di luar bandar. Itu amat penting,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melakukan tinjauan bersama media dan Persatuan OKU Sentral di Stesen Damansara Idaman, Laluan Shah Alam LRT3, di sini hari ini.

Keperluan terhadap kemudahan yang inklusif semakin penting memandangkan Malaysia dijangka menjadi negara menua menjelang 2030, sekali gus memerlukan persediaan lebih awal bagi memenuhi keperluan OKU dan warga emas.

Dalam pada itu, aspek perundangan berkaitan OKU dan warga emas juga perlu diberi perhatian, terutama sebagai persediaan menghadapi perubahan demografi negara.

“Akta OKU mesti lekas diperbaiki dan digubal. Begitu juga Akta Warga Emas yang perlu diperkemas supaya kita bersedia memastikan warga emas akan dijaga apabila negara kita menjadi negara tua pada 2030,” katanya lagi.

Beliau turut berharap Belanjawan 2027 tidak mengetepikan keperluan golongan OKU dan warga emas, termasuk dari aspek sokongan, kemudahan serta akses kepada perkhidmatan awam.

“Belanjawan 2027 ini kami berharap kerajaan tidak melupakan kami dan memberikan sokongan serta kemudahan,” katanya lagi.

Ras Adiba berkata, secara keseluruhan, kemudahan di stesen berkenaan adalah baik termasuk parkir OKU, tandas mesra OKU, lif yang boleh memuatkan sehingga empat pengguna kerusi roda serta laluan jubin sentuh (tactile paving) bagi membantu pengguna OKU penglihatan.

Beliau turut menyambut baik kemudahan dalam tren termasuk tali pinggang keselamatan yang boleh dilaraskan bagi membantu pengguna kerusi roda berada dalam kedudukan lebih selamat sepanjang perjalanan.

Dalam pada itu, Prasarana dalam kenyataan turut memaklumkan pihaknya menghargai pandangan dan maklum balas komuniti OKU dalam usaha menambah baik perkhidmatan pengangkutan awam, bukan sahaja dari aspek kemudahan fizikal, malah penyampaian perkhidmatan, akses kepada maklumat serta pengalaman perjalanan secara keseluruhan.

“Golongan OKU turut digalakkan memanfaatkan Pas Rapid Mesra yang membolehkan pemegang pas menikmati perjalanan percuma menerusi perkhidmatan rel, bas dan van Rapid On-Demand kendalian Prasarana di Lembah Klang, tertakluk kepada terma dan syarat,” menurut kenyataan itu.

Laluan Shah Alam LRT3 yang mula dibuka kepada orang ramai pada 29 Jun 2026 merupakan laluan sepanjang 37.8 kilometer yang menghubungkan Johan Setia, Klang dengan Bandar Utama, Petaling Jaya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.