PORT DICKSON, 20 Julai - Projek Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI) merupakan antara inisiatif baharu kerajaan yang bertujuan untuk memacu aktiviti ekonomi di peringkat komuniti.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan rombongan meluangkan masa untuk mengunjungi tapak projek di Kampung Sawah.
Beliau bersama ahli-ahli Parlimen telah dibawa meninjau inisiatif di bawah program ini sebagai sebahagian daripada sesi pemukiman Kerajaan MADANI yang berlangsung di Negeri Sembilan.
Projek Desaku Indah, Bumi ku Hijau itu adalah usaha Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Sawah bagi melestarikan alam sekitar dengan menerapkan budaya pengurusan sampah yang lebih efisen.
"Kami melihat sendiri bagaimana Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Sawah melaksanakan pelbagai aktiviti termasuk pengumpulan barangan terpakai dan program pengindahan kampung.
"Saya menyokong penuh inisiatif JPKK Kampung Sawah dalam melaksanakan kutipan sampah domestik secara berjadual. Langkah kecil sebegini mampu membawa perubahan besar dalam mencorak budaya komuniti yang lebih prihatin dan bertanggungjawab terhadap persekitaran.
"Insya-Allah, sebagai Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, saya ingin melihat lebih banyak program berteraskan kemajuan dan kesejahteraan penduduk desa seperti ini terus diperkasakan dan diperluas ke seluruh negara," katanya.
Turut bersama Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, Menteri Pembangunan Wanita,Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, serta Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R. Ramanan.