SUBANG, 2 Mei - Program Digitalisasi Sekolah Dalam Kem (SDK) dapat meningkatkan keupayaan para pelajar dan sekolah dari segi pembelajaran, keupayaan media dan membudayakan teknologi kreatif dikalangan anak-anak Warga Kerja Pertahanan (WKP).
Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata, ia dapat membantu para pelajar untuk membina bakat mereka seterusnya melahirkan murid fasih digital bagi memenuhi era digital pada masa kini.
"Sebenarnya kita bukan sahaja membina bakat dia tapi pada masa sama ke arah mana bakat itu boleh dimanfaatkan dalam dunia pembelajaran. Ia termasuk boleh diaplikasikan dalam sektor ekonomi.
"Jadi akhirnya dia tahu bahawa bakat dia, mempunyai sekali gus menjadi panduan kepadanya. Tugas berkenaan turut didorong ibu bapa untuk mengasah bakat-bakat berkenaan. Semakin banyak pengetahuan yang dia dapat, lagi tinggi keupayaan setiap pelajar," katanya.
Program tersebut merupakan inisiatif Kementerian Pertahanan yang menyokong Dasar Pendidikan Digital yang telah dilancarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada tahun 2023.
Beliau ditemui selepas Majlis Peluncuran Program Digitalisasi Sekolah Dalam Kem (SDK) Sekolah Kebangsaan (SK) TUDM Subang dan perasmian studio digital, Affin Digital Space SK TUDM Subang, di sini.