fb fb fb fb fb

Sasaran eksport negara kekal, di sebalik persekitaran ekonomi global yang mencabar

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 12 Februari- Sasaran eksport Malaysia tahun ini masih kekal, di sebalik persekitaran ekonomi global yang mencabar susulan perang tarif.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, masih terlalu awal untuk melihat impak daripada ketegangan perdagangan global kepada negara buat masa ini.

Jelasnya, usaha untuk mengekal serta mengukuhkan hubungan ekonomi dengan negara terlibat dijalankan secara proaktif.

"Bagi Malaysia, kita mempunyai pelan sendiri untuk memastikan kita terus 'engage' dengan Amerika Syarikat dan juga negara-negara lain kerana kita ekonomi yang terbuka dari segi perdagangan terutamanya.

"Oleh itu, kita di Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bersama agensi seperti Lembaga Pembangunan Industri Malaysia (MIDA) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) meneruskan program-program seperti biasa buat masa ini", katanya kepada media selepas Perasmian Pameran Nuansa oleh Graduan Seni Halus Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Bukit Bintang.

Pada masa sama, kerajaan akan terus memantau rapat perkembangan terkini melibatkan dasar perdagangan di bawah pentadbiran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

Tahun ini, eksport negara disasar tumbuh lima peratus daripada RM1.51 trilion dicatatkan tahun lalu.

 

ROSLINA BINTI DIN