Kemalangan lori JIM: Bedah siasat selesai, jenazah tiga sekeluarga dibawa ke Perak

Tiga van jenazah bersiap sedia di Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN), Hospital Kuala Lumpur untuk membawa pulang jenazah tiga mangsa sekeluarga yang maut dalam kemalangan membabitkan sebuah lori Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Jalan Sultan Ismail, di ibu negara/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 19 Ogos – Jenazah tiga sekeluarga yang maut dalam kemalangan membabitkan lori Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Jalan Sultan Ismail di ibu negara awal padi tadi dibawa ke masjid berkenaan untuk dimandikan, dikafankan dan disolatkan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Bedah siasat selesai, jenazah tiga sekeluarga dibawa keluar dari IPFN HKL sekitar 5.45 petang.
  • Mangsa: Shaik Mohd Firdaus, 53; Siti Nor Sazlin, 25; Siti Darwisyah Auni, 12, akan dikebumikan di Kampar, Perak.
  • Lori JIM dipercayai memasuki persimpangan ketika lampu merah dengan beacon dan siren aktif, bertembung Proton Saga; kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Ketiga-tiga jenazah berkenaan dibawa keluar dari Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN), Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas proses bedah siasat selesai kira-kira 5.45 petang tadi.

Jenazah Shaik Mohd Firdaus Shaikh Yahya, 53, bersama dua anak perempuannya, Siti Nor Sazlin, 25, serta Siti Darwisyah Auni, 12, dijangka disolatkan selepas solat Maghrib sebelum meneruskan perjalanan ke Kampar, Perak untuk urusan pengebumian.

Jenazah Allahyarham Shaik Mohd Firdaus, Siti Nor Sazlin dan Siti Darwisyah Auni akan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Baru Air Hitam, Labu, Kampar, Perak.

Kemalangan dipercayai berlaku apabila lori tanpa muatan yang sedang dalam perjalanan menuju ke Chow Kit bagi operasi pendatang tanpa izin itu, dipandu masuk ke persimpangan ketika lampu isyarat berwarna merah dengan lampu suar (beacon) serta siren diaktifkan.

Kenderaan tugas rasmi itu kemudiannya bertembung dengan sebuah kereta Proton Saga yang bergerak lurus ketika lampu isyarat hijau, menyebabkan lori berkenaan hilang kawalan lalu terbabas dan merempuh kesemua mangsa serta sebuah kereta Inokom Matrix.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.