KUALA LUMPUR, 27 Mac- Sejumlah RM210 juta telah disalurkan kepada 700,000 penerima Sumbangan Asas Rahmah (SARA) seluruh negara, setakat semalam.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata mekanisme bantuan bersasar seumpama akan terus ditambah baik oleh kerajaan bagi meningkatkan taraf ekonomi golongan rentan dan menjadi teras ekonomi.
Ia termasuk memperluaskan penggunaan kredit bagi bantuan tersebut.
"Penggunaan kredit program SARA diperluas kepada tiga kategori barangan asas tambahan iaitu barangan kebersihan diri, ubat-ubatan dan peralatan persekolahan.
"Dengan penambahbaikan tersebut, program SARA tahun 2024 akan memanfaatkan lebih 700,000 penerima dengan peruntukan RM700 juta, berbanding tahun 2023 iaitu hanya 210,000 penerima dengan perbelanjaan RM130 juta. Ini melibatkan peningkatan peruntukan lebih lima kali ganda berbanding tahun lepa,"katanya.
Lim memaklumkan sehingga kini, lebih 500 lokasi pasaraya dan kedai runcit menjadi rakan runcit bagi program tersebut.
Beliau menggalakkan lebih banyak pasaraya dan kedai runcit untuk menyertai program SARA bagi memberi impak berganda terhadap ekonomi.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dikemukakan Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik.