BANDARAYA MELAKA, 16 September- Sambutan Ambang Hari Malaysia di Melaka menjadi wadah penyatuan masyarakat berbilang kaum yang hadir bersama meraikan keunikan budaya dan persembahan seni tempatan.
Penganjuran malam tadi di Bandaraya Melaka berjaya mengumpulkan pelbagai lapisan masyarakat untuk bersama-sama menghayati persembahan yang menyerlahkan keharmonian serta kepelbagaian budaya negara.
Bagi generasi muda, suasana sambutan tersebut bukan sahaja menghiburkan, malah menyuntik rasa bangga menjadi rakyat Malaysia.
"Saya bangga jadi rakyat Malaysia sebab dapat hidup berbilang kaum dan pelbagai budaya. Malaysia aman berbanding negara lain, jadi saya rasa bertuah," kata Nurul Raudhatul Sakinah Amiruddin, pelancong.
Pandangan sama turut dikongsi Muhamad Faizan Abdul Jalil yang melihat kepelbagaian budaya sebagai kekuatan.
"Saya bangga jadi rakyat Malaysia sebab kita boleh kongsi pelbagai adat dan budaya. Harapan saya negara terus aman dan makmur serta rakyat kekal bersatu padu," katanya.
Bagi Izzah Aqilah Zulkarnain, pengalaman belajar di luar negara membuatkan beliau lebih menghargai keunikan perpaduan di Malaysia.
"Satu-satunya yang membanggakan saya ialah perpaduan kita. Kepelbagaian kaum sebegini hanya saya jumpa di Malaysia kerana rakyatnya benar-benar bersatu padu," katanya.
Sementara itu, Mohd Syukri Mohamed Ali menzahirkan rasa syukur kerana keharmonian dalam masyarakat majmuk kekal terpelihara meskipun negara terus melangkah maju.
"Alhamdulillah, saya bangga sebab dari hari ke hari Malaysia semakin maju dengan kreativiti anak muda, malah silaturahim antara kaum erat," katanya.
Sambutan penuh warna-warni itu sekali lagi menegaskan bahawa Hari Malaysia bukan sekadar peringatan sejarah, tetapi simbol kekuatan dan perpaduan rakyat dalam mendepani cabaran bersama.