GHaS 2025: JAKIM kukuh peranan sebagai peneraju utama pensijilan halal global

KUALA LUMPUR, 16 September – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) terus memperkukuh peranannya sebagai peneraju utama dalam pengurusan pensijilan halal apabila menganjurkan tiga program utama sepanjang Global Halal Summit (GHaS) 2025 bermula hari ini.

Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee berkata, program itu menjadi platform strategik mengumpulkan badan pensijilan halal antarabangsa, pihak industri, ahli akademik serta pemegang taruh utama dalam ekosistem halal global.

“Kesemua inisiatif ini memperkukuh keupayaan Malaysia sebagai pusat rujukan utama dunia dalam pensijilan halal selain menjadi pemacu inovasi serta tadbir urus halal yang telus dan berintegriti

“GHaS 2025 turut menampilkan pelbagai wacana prestij membincangkan hala tuju, cabaran dan masa depan industri halal termasuk aspek teknologi, fatwa kontemporari serta keselamatan makanan sejajar tuntutan semasa,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Program berkenaan ialah Halal Certification Bodies Convention (HCBC), International Halal Technical Capacity Development Programme (IHTCDP) serta Global Halal Talk (GHT) yang berlangsung di Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur pada 16 hingga 17 September.

Antara acara kemuncak lain termasuk Global Halal Business Conference (WHBC), Malaysia International Halal Showcase (MIHAS) serta Malaysia International Halal Research and Education Conference (MHIREC) 2025 di Putrajaya dan MITEC Kuala Lumpur.

GHaS 2025 berlangsung selama 11 hari mulai 16 hingga 26 September depan menghimpunkan penyertaan lebih 50 negara serta ratusan badan pensijilan halal antarabangsa, menjadikannya platform rujukan utama di peringkat global.