
KEMAMAN, 6 April – Bomba Kemaman berjaya mengawal dan memadam kebakaran kira-kira 13 hektar hutan dan belukar di daerah itu sejak tiga hari operasi pemadaman dilakukan.
- Operasi memberi fokus memadam baki kira-kira 0.5 hektar hutan yang masih terbakar.
- Kelajuan dan perubahan arah angin menyukarkan pemadaman, menyebabkan kebakaran bertompok-tompok dan operasi mengikut sektor.
- Jabatan Parit dan Saliran pasang pam tambahan, manakala JAS menggunakan dron; beberapa agensi lain turut membantu.
- Asap tebal menyelubungi kampung sejauh kira-kira satu kilometer; 60 anggota terlibat, orang ramai dinasihatkan jangan bakar terbuka.
Kebakaran hutan berhampiran tapak pusat pelupusan sampah di Kampung Mak Chili dan berdekatan stesen Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Chukai itu dilaporkan berlaku sejak tiga hari lalu.
Pegawai Zon 2, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Penguasa Bomba Kasyfi Syahmi Ghazali berkata, operasi berkenaan bermula sejak dua hari lalu dan pada hari ketiga pihaknya berjaya melakukan operasi pemadaman seluas kira-kira 12.5 hektar.
Beliau berkata pada hari ketiga, pihaknya memberi fokus pemadaman kira-kira 0.5 hektar baki hutan yang terbakar.
“Sehingga hari ini, baki kawasan yang berjaya dipadamkan adalah 0.5 hektar. Kami berusaha sedaya upaya untuk memadamkan keseluruhan kebakaran. Antara faktor risiko dan kesukaran pemadaman di kawasan api terbuka ialah kelajuan tiupan angin serta perubahan arah angin yang tidak menentu”, katanya dalam sidang media di sini.
Sepanjang operasi pemadaman itu pihaknya berdepan dengan dua faktor iaitu kelajuan tiupan angin di kawasan lokasi dan berlaku perubahan angin tidak menentu.
Katanya, situasi itu menyebabkan fokus operasi pemadaman terganggu ekoran kebakaran berlaku secara bertompok-tompok menyebabkan operasi itu dilakukan mengikut sektor.
Jabatan Parit dan Saliran (JPS) turut memasang pam air tambahan bagi memindahkan air dari anak sungai berhampiran ke lokasi kebakaran untuk operasi pemadaman.
Selain itu, Jabatan Alam Sekitar (JAS) turut membantu menerbangkan dron di lokasi kebakaran bagi membantu melakukan usaha pemadaman secara lebih berfokus.
Beberapa agensi lain turut membantu sepanjang operasi antaranya Pejabat Daerah Kemaman, Majlis Perbandaran Kemaman, Polis Diraja Malaysia dan pihak pengurusan ECRL.
Kebakaran itu turut menyebabkan kira-kira satu kilometer kawasan kampung berhampiran diselaputi asap tebal
yang dibawa angin kuat dari lokasi.
Seramai 60 anggota termasuk lima pegawai terbabit dalam keseluruhan operasi berkenaan yang dilakukan secara syif atau penggiliran serta pegawai agensi lain.
“JBPM turut menggunakan khidmat dua buah jentera berat dari Pejabat Daerah Kemaman bagi membantu usaha pemadaman”, katanya.
Pihaknya turut menasihati orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka bagi mengelakkan berlakunya kebakaran belukar hutan atau belukar.