PUTRAJAYA 25 Jun- 28 syarikat pengendali kenderaan barangan dan bas ekspres dikenal pasti mempunyai jumlah saman tertunggak tertinggi, sebahagian besarnya disebabkan kesalahan had laju dan teknikal.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke menegaskan, kesemua syarikat berkenaan diberi tempoh 14 hari untuk melunaskan semua saman atau berdepan tindakan untuk disenarai hitam daripada beroperasi.
Antara syarikat terlibat termasuk KDEB Waste Management Sdn. Bhd, Mainiza Mantap dan VK Transport dan Cepat Ekspres Sdn. Bhd.
Tambahnya, JPJ dan APAD akan menjalankan audit menyeluruh terhadap syarikat tersebut, bukan sekadar untuk menghukum tetapi membantu mereka memperbaiki kelemahan sistem.
“Kami bukan hanya nak hukum. Kami juga nak bantu. Tapi salah tetap salah – dan saman tetap perlu dibayar. Kita dah masuk fasa baharu. Langkah ini bukan lagi amaran biasa. Ini tindakan keras. Dan saya nak tegaskan tiada siapa akan dilindungi, termasuk GLC,” tegas Anthony Loke.
Buat pertama kali dalam sejarah, Kementerian Pengangkutan melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mendedahkan secara terbuka senarai syarikat pengendali kenderaan barangan dan bas ekspres yang mempunyai lebih 200 saman tertunggak.
“Kami tidak lagi akan bertolak ansur dengan syarikat yang gagal membudayakan keselamatan. Hari ini adalah langkah amaran kita dedahkan nama, dan selepas ini, tindakan lebih tegas akan menyusul,” tegas Loke dalam sidang media di Putrajaya.
Langkah ini merupakan pendekatan baharu yang dilaksana MOT, bertujuan mengubah budaya operasi syarikat bukan hanya semata-mata untuk menghukum.
Kementerian juga sedang melaksanakan pelbagai langkah teknikal dan regulatori, termasuk pemasangan peranti had laju dan pengauditan menyeluruh, tetapi semua itu tidak akan berkesan tanpa perubahan sikap dan nilai teras syarikat pengendali.
“Kalau budaya tak berubah, langkah teknikal pun tak akan memberi kesan. Kita perlu budayakan keselematan bermula dari pengurusan atasan syarikat sehingga ke pemandu terakhir,” katanya lagi.
Beliau mengakui perubahan budaya bukan mudah dan memerlukan masa serta kerjasama dari semua pihak.