SAM 2026 ke Zon Timur lokasi ke-3 penganjuran, sempena Bulan Kebangsaan

Antara aktiviti dilaksanakan MTVET di SAM 2026 Zon Timur di UTC Kuantan./ RTM

KUANTAN, 28 Ogos – Program Semangat Aspirasi Malaysia (SAM) 2026 Zon Timur yang berlangsung di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Pahang di sini menjadi platform pelbagai agensi kerajaan dan bukan kerajaan mendekati masyarakat secara lebih dekat dan interaktif.

RINGKASAN BERITA AI
  • MTVET beri peluang generasi muda mengenali TVET menerusi aktiviti praktikal seperti Solar Car, LED Smart House dan pengalaman realiti maya.
  • AADK turun padang dengan pendekatan santai menyampaikan kesedaran pencegahan dadah kepada pelajar, golongan muda dan masyarakat.
  • Jabatan Penjara jelaskan peranan pemulihan; PBSL membolehkan banduan menjalani hukuman luar dan peluang bekerja membina semula kehidupan.

Program anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM) sempena Bulan Kebangsaan itu merupakan usaha berterusan RTM dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat, selain membawa perkhidmatan dan maklumat agensi kerajaan terus kepada masyarakat.

Antara agensi yang mengambil bahagian ialah Majlis TVET Negara (MTVET), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Penjara Malaysia, selain Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Penolong Setiausaha Kanan Sekretariat MTVET, Mohd Faizal Azrai Ab. Aziz berkata, penyertaan institusi tersebut dalam program berkenaan memberi peluang kepada pengunjung, khususnya generasi muda, mengenali bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menerusi aktiviti praktikal.

Katanya, antara aktiviti yang disediakan ialah Solar Car, LED Smart House, mewarna batik serta pengalaman realiti maya (VR) yang memperkenalkan penggunaan teknologi dalam pembelajaran dan latihan.

“Pengunjung yang datang boleh mencuba sendiri aktiviti-aktiviti yang berbentuk hands on ini, jadi aktiviti sebegini penting untuk kita menanam minat awal kepada golongan kanak-kanak ataupun pelajar, terutamanya pelajar sekolah rendah supaya bila mereka besar nanti boleh mempertimbangkan untuk menyertai program pendidikan latihan vokasional ataupun TVET,” katanya.

Tambah beliau, pendekatan interaktif itu turut membantu mengubah persepsi bahawa TVET hanya tertumpu kepada mesin dan kerja bengkel, sebaliknya bidang berkenaan merangkumi pelbagai kemahiran termasuk teknologi, elektrik, elektronik, automotif, reka bentuk dan kreativiti.

Sementara itu, Penolong Pengarah Pencegahan dan Kesedaran Awam Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Pahang, Puteri Yuhanis Mohd Nor berkata, penyertaan AADK dalam SAM 2026 membolehkan agensi itu turun padang dan menyampaikan kesedaran secara terus kepada masyarakat.

“Jadi, program ini sangat memberi dan membantulah untuk AADK. Kita bila program macam ini, kita dapat AADK turun ke padang, memberi kesedaran secara terus. Makna kata, kalau ada pertanyaan ataupun yang lebih makluman tentang perkhidmatan AADK khususnya, kita boleh beri secara teruslah kepada mereka yang bertanya dan dapat kita mendekati mereka dengan lebih dekat dan santai,” katanya kepada pemberita RTM.

Menurutnya, pendekatan secara santai memudahkan AADK menyampaikan mesej pencegahan penyalahgunaan dadah kepada pelbagai lapisan masyarakat termasuk golongan muda, pelajar sekolah dan individu yang bekerja.

Dalam pada itu, Jabatan Penjara Malaysia turut mengambil bahagian dengan memberi penerangan kepada masyarakat mengenai peranan agensi itu dalam aspek pemulihan selain menguruskan individu yang menjalani hukuman.

Penguasa Penjara Ketua Bahagian Parol dan Perkhidmatan Komuniti Pahang, Tuan Rihzueh Ahhing berkata, masyarakat perlu memahami bahawa peranan penjara bukan semata-mata memenjarakan individu yang melakukan kesalahan, sebaliknya peranan lebih besar menanti dalam memulihkan prospek penjara.

“Saya nak sampaikan, ataupun pihak penjara sendiri lah, supaya masyarakat di luar faham tentang penjara. Bukan saja untuk semata-mata memenjarakan mereka yang bersalah, tetapi penjara juga menjalankan pemulihan di luar dan juga di luar tembok penjara,” katanya.

Menurut beliau lagi, usaha pemulihan turut membabitkan keluarga, majikan dan masyarakat.

Beliau turut memaklumkan, di Pahang, seramai 54 prospek atau banduan baru-baru ini dibebaskan menerusi Program Pembebasan Banduan Secara Berlesen (PBSL), dengan mereka menjalani hukuman di luar tembok penjara sama ada bersama keluarga atau ditempatkan dengan majikan untuk bekerja.

Langkah itu memberi peluang kepada mereka bekerja, menyumbang kepada masyarakat dan membina semula kehidupan selepas menjalani hukuman.

Sementara itu, PTPTN menjadikan SAM 2026 sebagai platform meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan perancangan kewangan pendidikan.

Pengarah Negeri Pejabat PTPTN Pahang, Sapiza Ajuhari berkata, usaha itu antaranya dilaksanakan menerusi produk Simpanan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) serta kemudahan bayaran balik pinjaman.

“Buatlah perancangan kewangan ini daripada awal, usia anak kita daripada awal kelahiran, kita dah buka akaun simpanan supaya bila dia nak melanjutkan pengajian nanti, dia tak ada masalah kewangan lagilah. Selain daripada memohon pinjaman, dia dah ada simpanan sendirilah untuk tujuan mendapatkan pendidikan,” katanya.

Menurutnya, menerusi reruai interaktif PTPTN, pengunjung berpeluang mendapatkan khidmat secara terus termasuk membuka akaun Simpan SSPN, membuat semakan pinjaman serta mendapatkan khidmat nasihat berkaitan perancangan kewangan pendidikan.

Antara manfaat yang ditawarkan menerusi Simpan SSPN termasuk pelepasan taksiran cukai pendapatan sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful percuma, Geran Sepadan sehingga RM10,000 bagi keluarga yang layak, kadar dividen kompetitif, simpanan dijamin kerajaan serta patuh syariah.

Sapiza berkata, menerusi Inisiatif Geran Padanan Ihsan (GAPAI), kelayakan Geran Sepadan bagi simpanan Simpan SSPN Prime turut diperluaskan kepada keluarga berpendapatan melebihi RM4,000 hingga RM6,000, dengan geran sehingga RM5,000 bagi satu keluarga.

Dalam pada itu, Kempen Cabutan Simpan SSPN 2026 yang berlangsung sehingga 31 Disember menawarkan hadiah bernilai hampir RM1.9 juta kepada 1,060 pemenang.

Beliau berharap penglibatan PTPTN dalam program jelajah bersama RTM di seluruh negara dapat mendekatkan perkhidmatan agensi itu kepada ibu bapa, pelajar dan bakal peminjam, selain memperluas akses kepada maklumat berkaitan pembiayaan pendidikan.

Pada masa sama, usaha itu diharap dapat meningkatkan kesedaran bahawa bayaran balik pinjaman merupakan satu amanah bagi memastikan dana pendidikan terus dimanfaatkan oleh generasi akan datang.

SAM 2026 berlangsung dari 23 hingga 30 Ogos, bermula di Zon Tengah, diikuti Zon Selatan, Zon Timur, dan akan berakhir di Zon Utara.

SAM 2026 merupakan kesinambungan Program Jelajah Aspirasi Malaysia (JAM) yang dilaksanakan setiap tahun setiap kali sambutan Bulan Kebangsaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.