14 rakyat Malaysia terpilih sertai program Fulbright di Amerika Syarikat tahun ini

Foto Fulbright Malaysia

KUALA LUMPUR, 28 Ogos – Seramai 14 rakyat Malaysia dipilih menyertai pelbagai program Fulbright di Amerika Syarikat (AS) tahun ini, melibatkan bidang pendidikan, penyelidikan, pengajian akademik dan pembangunan profesional.

RINGKASAN BERITA AI
  • MACEE berkata pemilihan peserta membuktikan komitmen berterusan memperkukuh hubungan pendidikan dan akademik Malaysia-AS.
  • Antara peserta: Dr Sharon Wilson ke Virginia Tech menyiasat kesan penipuan siber; Ahmad Mustamim mengikuti kursus pembangunan profesional guru di AS.
  • Sejak 1963, Fulbright Malaysia telah menghantar lebih 1,000 rakyat Malaysia ke AS dan menerima lebih 2,000 peserta Amerika; peserta terdiri guru, penyelidik dan profesional.

Pengarah Eksekutif Fulbright Malaysia atau Malaysia and American Commission on Educational Exchange (MACEE), Aeti Abdullah berkata pemilihan itu membuktikan komitmen berterusan suruhanjaya berkenaan dalam memperkukuh hubungan pendidikan dan akademik antara Malaysia dan AS.

“Peserta yang terpilih termasuk daripada golongan akademik dan profesional, termasuk Pensyarah Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), Dr. Sharon Wilson; pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Chang Keng Wai dan guru dari Sekolah Menengah Sains (SMS) Bagan Datuk, Ahmad Mustamim Omar.

“Mereka akan berlepas ke AS pada bulan ini dan juga September hadapan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Dr. Sharon yang merupakan pakar dalam isu penipuan akan ke Virginia Tech University selama enam bulan bagi menjalankan kajian ‘Unveiling the Dynamics of Scams: A Holistic Investigation into Scam Victims‘ untuk mengkaji kesan kewangan dan emosi jenayah siber terhadap mangsa, dengan tumpuan khusus terhadap bagaimana penipuan dalam talian mengeksploitasi komuniti yang terdedah.

Seorang lagi peserta, Ahmad Mustamir yang merupakan guru Bahasa Ingeris di Sekolah Menengah Sains Bagan Datoh akan menjalani kursus pembangunan profesional bersama institusi perguruan dan guru pakar di AS.

Aeti berkata, Fulbright merupakan suruhanjaya dwinegara yang menguruskan pelbagai program pertukaran pendidikan antara Malaysia dan AS.

Sejak penubuhannya pada 1963, Fulbright Malaysia telah menghantar lebih 1,000 rakyat Malaysia ke AS dan menerima lebih 2,000 rakyat negara itu untuk menyertai pelbagai program di Malaysia.

Peserta program berkenaan terdiri daripada guru, pembantu guru, penyelidik, golongan profesional serta sarjana.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.