(Datuk Seri Amirudin Shari di Majlis Pengenalan Pembangunan Kawasan Sabak Bernam (SABDA) di Nazbell Cottage and Garden di Sungai Besar, Selangor)
SABAK BERNAM, 9 Jun- Kerajaan negeri yakin Pembangunan Kawasan Sabak Bernam (SABDA) mampu menarik pelaburan berjumlah RM1.9 bilion bagi memajukan bahagian utara Selangor khususnya di daerah itu.
Ia melibatkan kawasan seluas 1,317 hektar, dengan enam projek pembangunan dirangka.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata melalui enam projek itu sebanyak 3,600 peluang pekerjaan berpendapatan tinggi dapat disediakan kepada penduduk tempatan.
Enam projek tersebut adalah Smart Selangor Agro Park di Changkat Menteri, Pusat Perikanan berteknologi tinggi di Sekinchan, Pusat Perniagaan Air Manis, Pusat Rehat dan Rawat Sabak Bernam, agropelancongan di Sekinchan dan kawasan sekitar serta pembinaan pusat setempat penyelenggaraan bot dan kapal nelayan di Sungai Lang.
(Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari)
Beliau berkata projek tersebut akan dibangunkan secara berfasa dan mula beroperasi bermula tahun depan hingga 2026.
"Biasanya kita sasarkan pada 2025, tahun 2026 paling lewat. Jadi, kalau boleh kita mahu semuanya diselesaikan pada tahun depan. Kita dapat lihat projek 2026 yang boleh kita selesaikan pada hujung tahun ini. Jadi pada 2025 kita mungkin boleh dapat lihat secara berfasa.
"Apa yang lebih penting, apabila jambatan kedua antara Sabak Bernam di Selangor dan Hutan Melintang di Perak siap nanti, projek pembangunan ini dapat diperkemas dengan lebih terancang pada masa depan", katanya.
Beliau berharap pembangunan SABDA mampu membantu merancakkan kegiatan ekonomi di Sabak Bernam yang setanding dengan daerah-daerah maju di negeri tersebut.
Beliau berkata demikian selepas majlis Pengenalan Pembangunan Kawasan Sabak Bernam (SABDA) di Sungai Besar.